1.3j PATI dibenar bekerja di lima sektor pekerjaan

KUALA LUMPUR 4 Okt. — Lima sektor pekerjaan kini dibenarkan mengambil seramai 1.3 juta pekerja asing tanpa izin (PATI) yang berdaftar di bawah Program Penyelesaian Menyeluruh Menangani Pekerja Asing Tanpa Izin (Program 6P) bagi mengisi kekosongan dalam sektor berkenaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, lima sektor berkenaan yang dibenarkan dalam dasar semasa kerajaan ialah perkilangan, perladangan, pertanian, pembinaan dan 15 jenis pekerjaan dalam sektor perkhidmatan.

“Saya yakin 1.3 juta PATI ini yang tidak mempunyai majikan sebelum ini dapat disalurkan kepada lima sektor ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat bersama Pengarah Imigresen Negeri di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Katanya, beliau dimaklumkan keperluan tenaga pekerja asing dalam lima sektor tersebut kini melebihi 1.3 juta pekerja.

Menurutnya 1.3 juta PATI itu adalah sebahagian dari jumlah keseluruhan 2.3 juta pendatang asing yang berdaftar dalam Program 6P lalu. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.