Apek tidak gentar fizikal ‘Mat Salleh’ Asia

KUALA LUMPUR – Pertemuan dengan naib juara Piala Asia, Australia pada Jumaat ini disifatkan pengalaman paling berharga buat penjaga gol nombor satu negara, Khairul Fahmi Che Mat.

Menghormati kemampuan skuad bimbingan Holger Osieck itu, Khairul Fahmi atau yang lebih dikenali sebagai Apek berkata, dia sedar Socceroos pasti menggunakan kelebihan fizikal sebagai senjata mendapatkan gol terutama menerusi situasi bola mati walaupun faktor itu tidak memberikan kebimbangan kepada penjaga gol Kelantan itu.

”Memang Australia mempunyai ramai pemain yang beraksi di liga-liga sekitar Eropah dan mempunyai sebuah skuad yang bagus.

”Kekuatan fizikal mereka pasti menyukarkan sedikit keadaan kami kerana mempunyai ramai pemain yang mempunyai ketinggian dan berbadan besar tetapi saya yakin dengan kemampuan rakan-rakan di barisan pertahanan

”Saya akan perbanyakkan komunikasi di atas padang pada hari perlawanan nanti dengan pemain lain supaya kita dapat mengekang Australia mendapatkan jaringan,” katanya.

Apek yang masih segar dengan penampilan cemerlang ketika skuad Olimpik tewas 0-2 kepada Jepun dalam kelayakan Sukan Olimpik 2012 dijangka menjadi pilihan utama Datuk K. Rajagopal dalam kesebelasan utama negara.

Dalam pada itu, kepulangan semula orang lama, Norhafiz Zamani Misbah memberikan kelegaan kepada Apek yang menganggap pengalaman pertahanan Negeri Sembilan itu pasti membantu membentuk kestabilan di kubu Harimau Malaya.

”Dia boleh dikatakan antara pemain paling berpengalaman dalam skuad. Saya rasa dia boleh banyak membimbing pemain-pemain muda lain terutama di bahagian pertahanan.

”Saya yakin bahagian pertahanan akan beraksi baik bagi menangkis serangan Australia nanti dengan adanya Zamani,” ujarnya.

Mohd. Muslim Ahmad dijangka menjadi rakan gandingan Zamani di pertahanan tengah di samping dibantu Asraruddin Putra Omar di bek kiri dan bek kanan bakal menjadi milik seorang lagi pemain skuad Olimpik, Mahalli Jasuli.

Australia yang dalam persiapan menentang Oman dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia tidak lama lagi, akan berdepan skuad Harimau Malaya pada perlawanan persahabatan yang dijadual berlangsung pukul 5 petang waktu tempatan (8 malam waktu Australia) di Stadium Canberra.
Sumber-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.