CCF Adalah Sebahagian Rancangan Pemulihan MAS – Awang Adek

KUALA LUMPUR: Rangka Kerja Kolaborasi Komprehensif (CCF) yang disertai Malaysia Airlines (MAS), AirAsia dan AirAsia X merupakan sebahagian daripada rancangan pemulihan MAS, persidangan Dewan Rakyat diberitahu pada Selasa.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata MAS akan terusmenumpukan usaha untuk memperbaiki operasi dan memperkukuh kewangannya dalam usaha menjadi syarikat penerbangan yang berdaya maju.

“MAS telah pun memulakan perbincangan dengan kesatuan sekerja untuk menjelaskan CCF secara terperinci. CCF dijangka memberi manfaat kepada tiga kumpulan iaitu pemegang saham, orang ramai dan kakitangan,” katanya ketika menjawab soalan Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Machang) di Parlimen.

Saifuddin ingin tahu perihal perjanjian pertukaran saham MAS-AirAsia dan kesannya terhadap masa depan industri pengangkutan udara negara.

Dr Awang Adek berkata CCF merupakan rangka kerja yang menggariskan prinsip-prinsip panduan yang mesti diikuti ketiga-tiga pihak dan melibatkan tiga perkara utama iaitu perjanjian kerjasama, perjanjian pemegang saham dan pengawasan.

Beliau berkata tempoh CCF adalah lima tahun dengan pilihan untuk melanjutkan tempoh perjanjian selama lima tahun lagi.

“Tempoh ini adalah bagi memberikan masa yang secukupnya untuk semua pihak memperoleh manfaat yang ketara hasil jalinan bersama,” katanya.

Beliau berkata secara rasionalnya CCF dapat membantu meningkatkan mutu produk dan perkhidmatan kepada pelanggan serta mengukuhkan persekitaran industripenerbangan negara selain meneroka bidang-bidang kerjasama yang berpotensi termasuk pembelian pesawat, kejuruteraan, perkhidmatan darat dan sokongan, perkhidmatan kargo, katering dan latihan.

Mengulas mengenai pertukaran saham itu, Dr Awang Adek berkata sehingga 20 September, para pemegang saham utama MAS adalah Khazanah Nasional Bhd sebanyak 48.87 peratus, Tune Air Sdn Bhd (20.5 peratus) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) (10.54 peratus).

Manakala para pemegang saham utama AirAsia setakat 23 September adalah Tune Air Sdn Bhd 13.1 peratus, KWSP (10.35 peratus), Khazanah Nasional Bhd (10 peratus), Genesis Smaller Companies (5.43 peratus) dan Wellington Management Company (5.04 peratus), katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.