Latihan Kemahiran Peluang Kedua Buat Belia Tercicir

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) — Peluang mengikuti latihan kemahiran dalam bidang automotif sukar dilepaskan buat Asyraf Adam, 16, yang juga seorang belia tercicir.

Ketika rakan sekolah yang lain sibuk mengulang kaji pelajaran sebagai persediaan menghadapi peperiksaan, beliau pula memegang spana, bermain dengan minyak enjin dan belajar segala hal berkaitan kereta.

Asyraf antara 30 belia kumpulan pertama yang terpilih mengikuti Program Sistem Latihan Dual National di TEKAT Auto Terminal Training yang menjalin kerjasama dengan syarikat pengeluar kenderaan, Nissan.

Baginya peluang kedua yang diberikan ini tidak akan disia-siakan. Impiannya kini adalah untuk menjadi seorang juruteknik berjaya serta mempunyai bengkal kereta sendiri suatu hari nanti.

TERCICIR KERANA TIDAK MINAT BELAJAR

Berasal dari Kota Bharu, Kelantan, anak ketiga daripada enam beradik ini telah menunjukkan kenakalannya sejak di sekolah rendah lagi. Bimbang dengan sikapnya itu, beliau dihantar ke sebuah sekolah menengah Tahfiz di Kota Bharu dengan harapan akan mengubah sikapnya itu.

Namun tindakan itu membuatkannya lebih tertekan dan memberontak. Hisap rokok, ponteng sekolah adalah rutin aktivitinya sehingga beliau memutuskan sendiri untuk berhenti dari alam persekolahan pada usia 14 tahun.

“Selepas tidak sekolah lagi, saya hanya habiskan masa dengan melepak dengan kawan-kawan. Bila tidak ada kerja hendak dibuat saya merempit dengan kawan-kawan,” katanya.

Pernah beberapa kali terjatuh dari menunggang motosikal ketika melakukan aksi “lagak ngeri”, namun sedikitpun tidak membuatkannya serik.

Hampir dua tahun membuang masa, pelawaan daripada persatuan Belia di kampungnya untuk mengikuti latihan kemahiran automotif di TEKAT menarik minatnya lebih-lebih lagi dengan syarikat kenderaan Nissan.

“Mula-mula fikir tak nak belajar lagi, tapi difikirkan semula sampai bila saya hendak merempit, atas nasihat keluarga, saya bersetuju mengikuti kursus yang ditawarkan sebab saya juga minat dalam bidang automotif,” katanya.

DIBUANG SEKOLAH

Seorang lagi pelajar tercicir, yang turut mengikuti program latihan yang sama, Mohd Khairul Azwan Hamzah, 16, berasal dari Baling, Kedah.

Dibuang sekolah pada awal tahun lepas, anak keempat daripada enam beradik ini sedikitpun tidak merasa menyesal diberhentikan sekolah.

Dunia persekolahan tidak lagi dirasakan keseronokannya apabila beliau sering dijadikan sasaran buli rakan-rakan hingga sering mencetuskan pergaduhan.

“Saya selalu bergaduh di sekolah, ponteng kelas dan sekolah… banyak kali juga kena rotan. Dah tak seronok pi sekolah,” ujarnya.

Setelah berhenti, masanya banyak dihabiskan dengan membantu bapanya yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan di pasar malam selain melakukan pelbagai kerja kampung.

“Kesusahan mencari rezeki itu membuat saya terfikir untuk mengubah kehidupan. Bila persatuan belia kampung mencalonkan nama saya bagi mengikuti kursus kemahiran ini, saya setuju dan Alhamdulillah saya terpilih,” katanya yang berharap kemahiran yang diperoleh akan mengubah hidup keluarganya.

Sementara itu, bagi Mohd Firdaus Mohd Nor, 21, beliau tidak menyangka diberi peluang mengikuti latihan kemahiran dan bakal berpeluang bekerja dengan syarikat kenderaan terkenal dari Jepun itu.

Beliau, pelajar lembam di sekolah, terpaksa meninggalkan alam persekolahan pada usia 14 tahun setelah tidak mampu untuk mengikuti pembelajaran.

“Saya susah nak masuk apa yang diajar, boleh terima tetapi sikit-sikit. Lama kelamaan saya jadi bosan dan rendah diri dengan kawan lain dan terus berhenti sekolah,” katanya yang berasal dari Sungai Petani Kedah.

Katanya peluang kedua yang diberikan ini akan digunakan sebaik mungkin untuk membuktikan yang beliau juga mampu melakukannya sepertimana orang lain.

“Mungkin saya agak slow sikit…. tapi saya akan berusaha bersungguh-sungguh dan saya yakin saya boleh,” ujarnya penuh semangat.

PELUANG KEDUA

Pengarah Pembangunan Perniagaan TEKAT Auto Terminal Training, Mohammad Rizan Hassan, fokus pusat latihan kemahiran TEKAT adalah untuk membantu pelajar tercicir mendapat peluang kedua dalam meneruskan kelangsungan hidup.

Pandangan negatif terhadap belia tercicir harus diubah dan mereka perlu dibantu dengan memberi peluang untuk membuktikan kebolehan masing-masing.

“Ramai belia tercicir yang dibiar dan tidak dibantu sehingga mereka terjebak dalam kegiatan sosial dan jenayah. Tidak mahu perkara itu terus berlaku, TEKAT cuba menarik seberapa ramai belia tercicir yang berumur 16 hingga 25 tahun dengan mengikuti latihan kemahiran automotif di bawah Persijilan Kemahiran Malaysia,” katanya.

Beliau berkata dalam program bersama Nissan, pelatih akan mengikuti latihan selama setahun, di mana tiga bulan di pusat latihan kemahiran TEKAT, manakala selebihnya akan menjalani praktikal di Tan Chong Motor, pengedar kenderaan Nissan.

“Mereka yang dipilih terdiri daripada pelbagai latar belakang dan 80 peratus daripada mereka adalah pelajar tercicir,” katanya.

TEKAT yang memulakan operasinya sejak tahun 2000 memberi fokus kepada kemahiran automotif bagi menyediakan dan melahirkan tenaga kerja dalam kalangan belia untuk memenuhi keperluan industri.

Rizan berkata sehingga kini, terdapat lebih 5,000 tenaga kerja yang berkemahiran dan hampir 90 peratus daripada mereka mempunyai pekerjaan sama ada di syarikat kenderaan luar negara ataupun bengkel-bengkel kenderaan tempatan.

“Pelatih terdiri daripada semua kaum. Selain diberikan kemahiran, kami juga turut membantu mendapatkan peluang pekerjaan untuk mereka dan sehingga kini kami turut menjalin kerjasama dengan banyak syarikat kenderaan antaranya Volvo, Toyota, Perodua dan Honda,” katanya.

1 BELIA 1 KEMAHIRAN

Tidak ramai belia tercicir yang mahu tampil untuk mengikuti latihan kemahiran yang disediakan di mana-mana pusat latihan kerajaan atau swasta, menurut Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Mohamed Maliki Mohamed Rapiee.

Beliau berkata pada tahun lepas sahaja, kira-kira 200,000 belia tercicir seluruh negara namun peratusan mereka yang mengikuti latihan kemahiran sangat rendah.

“Ia harus dipandang secara serius oleh semua pihak untuk sama-sama membantu dalam usaha membantu melahirkan belia berkemahiran sepertimana program yang sedang dijalankan oleh Kementerian Belia dan Sukan, bagi melahirkan 1 Belia 1 Kemahiran,” katanya.

Untuk mencapai matlamat itu kerjasama dengan pusat latihan kemahiran milik kerajaan dan swasta seluruh negara digerakkan untuk melatih belia tercicir mengikuti kursus yang bersesuaian dengan minat dan kebolehan mereka.

Antaranya ialah TEKAT Auto Terminal Training, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Kolej Komuniti.

Mohamed Maliki berkata kelompok belia tercicir ini perlu dibantu untuk menarik mereka keluar dari ‘zon selesa’, kerana kebanyakan mereka mempunyai nilai estim yang sangat rendah.

“Perasaan rendah diri dalam diri kelompok belia tercicir ini telah terbentuk sejak di sekolah rendah lagi, kerana mereka ini biasanya di sekolah antara pelajar yang terkebelakang. Perasaan itu terbawa-bawa sehingga mereka tamat tingkatan 3 atau 5, akhirnya mereka merasa sukar untuk menempatkan diri dan selesa dengan apa yang mereka ada,” katanya.

Pendekatan menggunakan mentor dalam kalangan mereka yang tercicir didapati dapat mempengaruhi dan menarik kelompok belia ini untuk membina kehidupan.

“Mereka selesa untuk berkongsi dengan mereka yang mempunyai pengalaman yang sama dan saya berharap lebih ramai lagi mentor dilahirkan dalam kalangan mereka yang tercicir untuk membantu menarik rakan lain,” katanya.

— BERNAMA

13 thoughts on “Latihan Kemahiran Peluang Kedua Buat Belia Tercicir

  • 08/10/2011 at 10:51 pm
    Permalink

    Latihan ini amat bagus kerana ia memberi peluang kedua untuk remaja yang tidak berminat dalam bidang teori tetapi lebih berminat dalam bidang kemahiran. Diharapkan lebih banyak lagi peluang ini diberikan kepada remaja terutama di luar bandar

    Reply
  • 08/10/2011 at 11:00 pm
    Permalink

    satu idea yang baik, memberi peluang kedua kepada golongan yang tercicir

    Reply
  • 08/10/2011 at 11:02 pm
    Permalink

    Peluang yang diberikan kepada belia yang tidak minat untuk meneruskan pelajaran,sebaliknya memberi mereka peluang atau bidang yang mereka lebih minat untuk diceburi adalah salah satu jalan yang terbaik agar mereka dapat menonjolkan bakat yang sedia ada seterusnya menaikkan taraf dan imej negara khususnya dari golongon belia

    Reply
  • 08/10/2011 at 11:04 pm
    Permalink

    Latihan Kemahiran Peluang Kedua Buat Belia Tercicir ,untuk rumusan saya disini adalah sangat bagus,ini kerana dapat menbantu para belia yang kesempitan dalam hal ilmu pengetahuan.dan dapat membantu mereka daripada
    kerosakkan akhlak yang lebih serius,seterusnya melahirkan belia yang berilmu pengetahuan.daripada hanya membuang masa dengan perkara yang tidak berfaedah.

    Reply
  • 08/10/2011 at 11:05 pm
    Permalink

    latihan kemahiran mmg baik untuk para belia yang tercicir dalam akademik,tetapi jika terlalu ramai lambakan belia berkemahiran yang sama ini akan menyebabkan pasaran pekerjaan menjadi tepu.kajian terpeinci perlu dilakukan dalam bidang kemahiran yang betul-betul memerlukan tenaga kerja yang berkemahiran.

    Reply
  • 08/10/2011 at 11:06 pm
    Permalink

    program seperti ini harus dijalankan oleh kerana ada sesetengah individu yang kurang dalam bidang akademik malah ianya akan memberi kesan yang negatif jika golongan yang tercicir ini dibiarkan tanpa jalan yang betul, seharusnya kita sebagai individu yang bernasib baik seharusnya menolong mereka-mereka ini agar belia-belia di Malaysia dapat menjadi insan yang berguna dan masa depan yang cerah dan terhindar daripada gejala negatif.

    Reply
  • 08/10/2011 at 11:08 pm
    Permalink

    latihan kemahiran amat diperlukn sekarang.. untuk golongan2 belia harus manfaatkan peluang yang diberi ini agar tiada lagi masalah “penganguran”..

    Reply
  • 08/10/2011 at 11:11 pm
    Permalink

    dengan adanya peluang sedemikian, negara dapat mengurangkan penganggur yang semankin banyak di negara kita. kita juga dapat golongan belia yang berkemahiran tinggi dalam mana-mana sektor pekerjaan dan melahirkan golongan belia yang keratif dan beronivasi

    Reply
  • 08/10/2011 at 11:13 pm
    Permalink

    para golongan belia yang tercicir ini harus sentiasa peka bagi mengharungi nama negara dan pemimpin di generasi akan datang

    Reply
  • 08/10/2011 at 11:23 pm
    Permalink

    kalau dh dinamakan belia, bantuan hendaklah kpd mereka sehingga 40 tahun…

    Reply
  • 09/10/2011 at 12:07 am
    Permalink

    bagi juga peluang2 untuk membuka perniagaan sendiri dengan adanya kemahiran yg telah dipelajari…peluang ke-3…hi3

    Reply
  • 31/08/2013 at 10:37 am
    Permalink

    Assalamualaikum…latihan sumpama ini amat dan tersangat perlu diadakan kerana terlalu ramai golongan pelajar yang semakin malas untuk belajar tetapi mahu menjadi seperti kawan2 yang telah berjaya…namun kejayaan tidak mungkin tercapai tanpa ilmu..saya sokong penuh program ini dilaksanakan secara berterusan…

    Reply
  • 09/08/2014 at 8:34 pm
    Permalink

    keluarga masih mengonkong anak2 walaupun dah berusia 21.. kenapa? biarla nak cari kehidupan sendiri.. tahu yg family syg tpi syg tak kena tempat.. tension aku

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.