Gajet bantu persiapan raya

Pastinya, persiapan menyambut Aidilfitri lebih bermakna apabila kebanyakan kelengkapan dan perhiasan rumah mula disediakan.

Mesin pengisar, periuk, senduk, pinggan dan buku resipi sudah pasti kekal menjadi aksesori ‘gajet’ meriah setiap kali musim perayaan namun pada zaman digital sekarang, beberapa persiapan raya digital juga tidak dilupakan.

Ditambah penggunaan telefon pintar yang melebihi 100 peratus di negara ini, sudah pasti ia menjadi gajet berguna ketika musim perayaan.

Apa kaitannya pula dengan raya?

Melihat pada telefon pintar yang sudah sebati dengan gaya hidup seharian, ramai antara kita tidak menyedari beberapa aplikasi sebenarnya membantu memudahkan urusan ketika musim perayaan, menjimatkan masa dan menjadikan kita lebih efisien.

Contohnya, Waze yang membantu merancang perjalanan atau Google Maps yang memberi cadangan tempoh perjalanan sesuai kepada pengguna jalan raya.

Selain itu, terdapat ‘page’ di Facebook seperti LM2U – Servis Minyak Hitam Kereta Kuala Lumpur yang membolehkan anda mencari mekanik melakukan servis kenderaan terus di depan garaj anda.

Anda boleh menghubungi mereka melalui WhatsApp dan sudah pasti ia menjimatkan masa hanya dengan menggunakan telefon pintar ketika musim raya.

Selain itu, IT@Metro mencadangkan beberapa aplikasi yang sesuai digunakan ketika musim perayaan.

Kalau secara tradisionalnya kita bersiap dengan membeli baju raya, jangan dilupakan juga mendapatkan aplikasi seperti berikut:

1. Suudu

Pening untuk cari menu raya? Dengan himpunan pelbagai resipi masakan melalui aplikasi Suudu, ia sedikit sebanyak dapat membantu anda memilih menu menarik untuk tetamu nanti.

Suudu adalah aplikasi yang berkaitan dunia pemakanan, sama ada dalam memilih tempat untuk makan, cara memasak, mendapatkan tip dan bahan bacaan bermanfaat serta mendaftar di kelas memasak.

Pada bahagian Resipi Masakan, anda akan diberikan langkah mudah untuk setiap resipi bagi membantu anda dalam penyediaan menu pilihan. Terdapat juga video arahan untuk resipi terpilih.

Melalui aplikasi ini, anda boleh merancang pembelian bahan mentah. Senarai barang bahan mentah yang anda perlu akan disenaraikan seperti kuantiti bawang dan cili.

Bahkan, anda boleh menyimpan dan mempunyai senarai resepi kegemaran anda sendiri. Hanya log masuk dengan alamat e-mel atau menggunakan akses masuk menggunakan akaun Facebook anda.

Selain itu, pengguna turut boleh berkongsi resipi kegemaran menerusi pelbagai platform media sosial bersama rakan.

Suudu boleh dimuat turun daripada platform Play Store dan App Store.

2. CarBengkel

Aplikasi CarBengkel dibangunkan bersesuaian dengan musim perayaan tidak lama lagi apabila berupaya menjimatkan masa pengguna yang mencari pusat servis bagi menyelenggara kenderaan mereka pada harga berpatutan.

Melalui aplikasi berkenaan, pengguna boleh menggunakan sebut harga CarBengkel dan memilih bengkel yang sesuai dengan bajet mereka.

Ia sekali gus membenarkan pemilik kenderaan menganggarkan kos penyelenggaraan kenderaan mereka dan mengelak ditipu atau dikenakan caj berlebihan pengusaha pusat servis yang tidak bertanggungjawab.

Aplikasi ini boleh didapati secara percuma melalui platform Android dan iOS dengan lebih 1,000 bengkel dan pusat servis di seluruh negara.

Pada masa sama, pengguna boleh menggunakan aplikasi untuk menghantar mesej bantuan kepada bengkel berhampiran jika kenderaan rosak.

3. Carput

Biasa juga anda tersadai di tepi jalan akibat kerosakan kereta? Terutama ketika menempuh perjalanan jauh ditambah kesesakan lalu lintas berjam-jam lamanya.

Dapatkan bantuan segera melalui aplikasi Carput yang menawarkan anda cara mudah, selamat dan boleh dipercayai untuk mendapatkan akses kepada bantuan jalan raya apabila anda memerlukannya.

Aplikasi ini direka untuk menawarkan penyelesaian terhadap sebarang kesulitan dialami setiap pengguna yang berdepan kerosakan mahupun kemalangan kenderaan.

Ia berfungsi menghubungkan anda dengan panel profesional kerosakan kenderaan, sekali gus membolehkan anda menerima bantuan automotif yang telus.

Antara perkhidmatan ditawarkan termasuk penghantaran minyak, tarik kenderaan, ‘jumpstart’ enjin, penggantian bateri kereta dan tayar, membaiki kerosakan kecil serta banyak lagi.

Anda hanya perlu memuat turun aplikasi di platform App Store atau Play Store untuk memudahkan sebarang urusan dan pertanyaan.

Melalui aplikasi ini, pengguna bukan saja dapat memberitahu mengenai masalah yang dihadapi, malah mengetahui kos kasar yang perlu dibayar. Kemas kini harga minyak semasa turut boleh diperoleh.

4. Easybook

Sering kali kita mendengar masalah tiket habis untuk pulang berhari raya tapi apa kata anda cuba aplikasi Easybook.com.

Easybook.com adalah aplikasi tempahan tiket pengangkutan terbesar yang menawarkan semua pilihan tiket termasuk bas, kereta api, feri, kereta sewa dan tempahan pelancongan di seluruh Asia Tenggara.

Bagi perjalanan bas, anda boleh memilih daripada lebih 500 pengusaha bas dan lebih 10,000 laluan bas ke semua destinasi pelancongan yang popular di Malaysia, Singapura, Indonesia serta Thailand.

Selain bas, anda juga boleh memudahkan perjalanan dengan menaiki kereta api apabila Easybook.com adalah sistem tempahan tiket terbesar bagi perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Tren Elektrik (ETS) yang menawarkan perjalanan pantas dan selesa ke setiap destinasi termasuk ke Hatyai dan Woodlands Singapura.

Easybook.com boleh dimuat turun daripada kedua-dua platform Play Store dan App Store.

5. PLUS Mobile Apps

Setiap hari dianggarkan lebih 1.2 juta pengguna lebuh raya di negara ini dan jumlah ini meningkat sebanyak 25 peratus ketika musim perayaan yang memerlukan sistem terkini bagi menyampaikan maklumat lalu lintas lebih baik.

Demi melancarkan perjalanan di atas lebuh raya, orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan dengan membuat semakan aliran trafik terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan agar ia berjalan lancar tanpa sebarang sekatan.

Oleh itu, pengguna lebuh raya digalakkan memuat turun aplikasi pintar PLUS Mobile Apps dari Play Store dan App Store apabila PLUS akan menyalurkan maklumat serta perkembangan trafik terkini untuk semua rangkaian lebuh rayanya secara terus ke telefon pintar atau tablet pengguna lebuh raya.

Malah, aplikasi PLUS ini juga membolehkan pengguna lebuh raya menerima laporan trafik terkini seperti kejadian kemalangan, kesesakan, kerja menaik taraf, penyelenggaraan dan aktiviti lain di sekitar lebuh raya kendalian PLUS.

6. Photo Blender

Anda mempunyai banyak gambar raya, apa kata pamerkan sedikit kreativiti dengan Photo Blender.

Aplikasi Photo Blender dikatakan lebih kepada aplikasi sosial dalam aplikasi kamera yang membolehkan pengguna berkongsi setiap rakaman gambar selepas ia disunting dengan ciri utama mencampurkan dua hingga empat gambar bersama.

Anda tidak perlu mempunyai skil menggunakan Photoshop untuk menggabungkan gambar menjadi jalan cerita yang menarik, tetapi cukup mengikut kreativiti menerusi tiga jenis ‘blend’ pada aplikasi ini.

Kemudian suntingnya dengan beberapa ciri lain sebelum menambah maklumat lokasi dan penerangan situasi kepada gambar terbabit serta pindah naik di laman sosial seperti Twitter dan Facebook.

Kelebihannya, ia menghasilkan mod yang berlainan sebelum dikongsi melalui laman sosial, malah rakan lain turut mampu memberikan komen terus pada gambar terbabit.

Sudah pasti raya nanti lebih menarik.

7. Google Drive

Sudah pasti banyak foto dirakam oleh ramai saudara-mara nanti. Apabila banyak foto dirakam, bagaimana pula untuk berkongsinya sesama ahli keluarga atau rakan?

Paling mudah, gunakan aplikasi Google Drive yang anda semua pasti ada dalam telefon Android masing-masing.

Simpan secara ‘cloud’ dan anda boleh berkongsi akses terbabit untuk menyimpan gambar yang dirakam orang lain.

Sudah pasti, ia turut mengelak risiko kehilangan gambar lama akibat kerosakan kad memori SD mahupun kecurian telefon.

Jika diperlukan, anda boleh mengakses dan mendapatkannya daripada akaun Google Drive pada bila-bila masa saja. – METRO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.