David Teo

Penerbit filem dan pemilik syarikat produksi Metrowealth Pictures yang pernah menjadi salah seorang penerima sebelum ini berserah kepada kerajaan termasuk kemungkinan untuk penarikan balik anugerah yang diterimanya sebelum ini.

Katanya, beliau percaya cadangan tersebut dibuat bagi menjaga nama baik ATM di samping mengelak daripada disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu terutama daripada aspek pemakaian uniform perkhidmatan itu.

“Saya menerima pangkat ini selepas menyertai Askar Wataniah dalam platun seni dan saya terima dengan hati terbuka andai pangkat saya ditarik balik.

“Selain itu, saya telah membantu askar wataniah bagi mempromosikan khidmat dalam pasukan itu dengan kejayaan mencatatkan jumlah yang ditetapkan. Itu antara faktor saya dianugerahkan pangkat berkenaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Penerbit berasal dari Segamat, Johor itu menyertai pasukan askar Wataniah pada Jun 2011 dan telah dianugerahkan pangkat Mejar Kehormat selepas enam bulan menyertai pasukan itu.

David mengulas kenyataan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu semalam yang mahu pemberian pangkat kehormat ATM dalam kalangan orang awam termasuk golongan ahli politik dihentikan serta hanya diberikan kepada individu yang layak sahaja. – UTUSAN