Kerajaan Negeri Diharap Dedah Hasil Siasatan Tragedi ‘Double Six’

TOH Puan Rahimah Stephens ketika memberi penghormatan di Tugu Peringatan Double Six hari ini. – Foto BERNAMA

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri diminta mempertimbangkan untuk mendedahkan hasil siasatan mengenai tragedi ‘Double Six’ bagi meleraikan keraguan berhubung insiden yang berlaku 42 tahun lalu itu.

Tragedi itu mengorbankan Ketua Menteri Sabah pertama, Tun Mohammad Fuad Stephens, apabila pesawat GAF Nomad dinaiki beliau bersama rombongan beberapa anggota Kabinet negeri terhempas di perairan Sembulan.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Jimmy Wong, berkata sehingga hari ini sebahagian besar penduduk Sabah masih meragui serta tertanya-tanya apa sebenarnya berlaku dalam tragedi nahas pesawat pada 6 Jun 1976 itu.

“Setiap tahun apabila tiba tarikh ‘Double Six’ (6 Jun), saya fikir semua orang tertanya-tanya dan berharap kes ini dapat dirungkai. Sama ada punca kemalangan yang disebabkan oleh terlebih muatan, masih banyak yang diragui.

“Saya harap kerajaan baharu kita boleh mempertimbangkan untuk mendedahkan kes itu bagi memuaskan hati rakyat, namun pada masa sama Ketua Menteri (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) tentu akan melihat apakah ada keperluan selepas 42 tahun untuk mendedahkan (hasil siasatan),” katanya.

Beliau yang mewakili Mohd Shafie berkata demikian kepada media pada upacara Ulang Tahun Ke-42 tragedi itu di peringatan Double Six di Sembulan di sini, hari ini.

Pada 6 Jun 1976, Tun Fuad menaiki pesawat GAF Nomad buatan Australia dari Labuan ke Kota Kinabalu untuk menghadiri jamuan rasmi dengan Menteri Kewangan Persekutuan dan Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah di Istana Negeri.

Bagaimanapun, pesawat itu terhempas di perairan Sembulan ketika ia menghampiri Lapangan Terbang Kota Kinabalu.

Tragedi itu turut mengorbankan Menteri Kewangan negeri, Datuk Salleh Sulong; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Peter Mojuntin; Menteri Kerja Raya dan Komunikasi negeri, Datuk Chong Tien Vun; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Darius Binion serta Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan negeri, Datuk Wahid Peter Andu.

Turut terbunuh, Dr Syed Hussien Wafa (Pengarah Unit Perancangan Ekonomi), Ishak Atan (Setiausaha Sulit Tengku Razaleigh Hamzah), Kapten Gandhi Nathan (juruterbang), Koperal Said Mohamed (Pengawal Tun Fuad) dan Johari Stephens (anak sulung Tun Fuad).

Tun Fuad ketika itu menjadi Ketua Menteri Sabah buat kali kedua selepas Pilihan Raya Umum pada 1976 apabila Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (BERJAYA) diterajui beliau berjaya membentuk kerajaan menggantikan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).

Tun Fuad (yang juga mantan presiden Pertubuhan Bersatu Pasokmomogun Kadazan – UPKO) maut dalam tragedi itu selepas 44 hari pelantikannya.

Sementara itu, isteri Tun Fuad, Toh Puan Rahimah Stephens yang turut hadir pada upacara itu berkata, tiada keperluan untuk membuka semula kes itu.

“Ia sudah berakhir, tidak perlu digali sana sini. Ingatan akan sentiasa ada (terhadap semua mangsa) dan tiada apa yang boleh kita lakukan. Bagaimanapun, saya senang sekali melihat orang sekali lagi hadir (upacara memperingati),” katanya.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.