Ku Li jemput MP Umno buka puasa hari ini

Di tengah-tengah bertiupnya desas-desus Tengku Razaleigh Hamzah berniat untuk bertanding jawatan presiden parti, veteran Umno itu telah menjemput anggota parlimen Umno untuk menghadiri majlis buka puasa di kediamannya di Kuala Lumpur malam ini.

Dijangkakan Tengku Razaleigh, yang dikenali sebagai Ku Li akan menilai tahap sokongan atau mengumpulkan sokongan daripada penggubal undang-undang menjelang pemilihan parti pada 30 Jun depan.

Ura-ura mengatakan Ahli Parlimen Gua Musang lapan penggal itu sedang membincangkan kemungkinan bertanding jawatan presiden pada 1 Jun dan dikatakan Ku Li telah bertemu dengan perwakilan parti sejak minggu lalu.

Pada masa ini, Umno mempunyai 54 anggota parlimen daripada 79 kerusi yang dimenangi BN pada 9 Mei.

Nazri Aziz akan hadir

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Nazri Aziz mengesahkan ahli politik berusia 81 tahun itu mengundang Anggota Parlimen Umno hadir ke majlis buka puasa.

“Memang benar dan saya akan hadir,” kata bekas menteri pelancongan dan kebudayaan dalam teks pesanan ringkas kepada Malaysiakini.

Sementara itu, seorang lagi anggota parlimen yang bercakap dengan syarat namanya tidak disiarkan berkata Tengku Razaleigh mengadakan acara buka puasa itu setiap tahun.

Bagaimanapun, Anggota Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya berkata beliau tidak tahu-menahu mengenai jemputan berkenaan dan akan hadir suatu lagi majlis buka puasa di kawasannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.