Plaza Tol Seremban Baharu Dibuka Esok

SEREMBAN: Kira-kira 18,000 pengguna harian dari Seremban 2 dan Bukit Kepayang, di sini, tidak perlu lagi menempuh kesesakan teruk untuk memasuki Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, apabila laluan susur baharu dibuka esok.

PLUS Malaysia Bhd dalam kenyataannya di sini, berkata pengguna boleh masuk ke susur keluar di persimpangan bertingkat Seremban yang baharu itu apabila ia dibuka secara rasmi bermula jam 3.30 petang.

“Melalui pembukaan laluan susur berkenaan, kenderaan dari arah Seremban 2 dan Bukit Kepayang tidak perlu lagi melintas Jalan Sungai Ujong untuk masuk ke Plaza Tol Seremban (arah utara) yang sedia ada.

“Sebaliknya, pengguna boleh terus menggunakan laluan susur baharu itu untuk menghala ke Nilai dan Kuala Lumpur sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas,” katanya.

Projek pembinaan susur masuk yang bermula pada Januari tahun lalu dan siap sepenuhnya pada 31 Mei lalu, turut dilengkapi plaza tol tiga lorong menyediakan perkhidmatan Smart TAG dan Touch n Go serta laluan khas motosikal.

Pembukaan rasmi persimpangan yang bernilai RM12 juta itu dijangka disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Abdul Razak Jaafar.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.