Puas bawa watak Aishah

Cinta mendalam terhadap bidang lakonan tidak pernah pudar di hati Noorkhiriah Ahmad Shapie.

Walaupun pernah mengeluarkan kenyataan mahu bersara sebagai pelakon sebelum ini, ternyata ia hanya seketika.

Tidak berselindung dan bersikap terbuka mengakui kenyataan yang pernah dibuatnya, pelakon berkaliber berusia 41 tahun ini berkata, memang benar ketika itu dia mahu berhenti berlakon.

“Saya tidak membuat keputusan terburu-buru ketika memberitahu hasrat itu (berhenti berlakon) kerana memang ingin melakukannya.

“Saya mahu memberi tumpuan kepada kehendak sendiri termasuk fokus kepada keluarga. Apatah lagi, anak pun masih kecil lagi.

“Namun, jauh di sudut hati saya tidak mampu menidakkan perasaan rindu untuk ke lokasi penggambaran dan kembali berlakon semula,” katanya.

Menurut ibu dua anak ini, dia mengharapkan dirinya dapat peluang berlakon dalam satu naskhah terbaik dan sarat dengan mesej pengajaran untuk renungan bersama.

“Saya sebenarnya tidak sangka akan memperoleh peluang berlakon untuk drama bersiri Nur yang skripnya ditulis pengarah, Shahrulezad Mohameddin.

“Dapat saja draf awal skrip drama ini (Nur), saya terus jatuh minat dan mahu menjadi sebahagian pelakon dipilih untuk membintanginya.

“Terus terang, saya tidak mampu menolak skrip itu kerana jalan ceritanya sangat menarik. Ia mengangkat isu agama dan kehidupan wanita lorong.

“Bagaimana penerimaan masyarakat terhadap wanita lorong yang mahu bertaubat dan menjalani kehidupan lebih baik untuk mendapatkan keredaan Yang Maha Esa,” katanya.

Noorkhiriah yang puas melakonkan watak Aisyah dalam drama itu berkata, dia terima dengan hati terbuka setiap kecaman daripada penonton dan netizen di laman sosial.

Katanya, dia tidak sedikit pun terasa hati dengan kecaman diberi kerana tahu penonton geram dan marah pada watak Aisyah itu.

“Bukan saya pun yang penonton marahkan tetapi Aisyah yang lupa diri dan gelap mata dengan wang hasil ceramah agama oleh bapanya.

“Berganding pula dengan pelakon Azhan Rani sebagai Ustaz Syed Hamadi, kerjasama kami menjadi kerana watak dilakonkan dikecam hebat,” katanya.

Menurut Noorkhiriah, apa yang pasti untuk kemunculan terbarunya dalam karier lakonan dia sudah cuba sebaik mungkin melakonkan watak Aisyah itu dengan jayanya.

Katanya, terima kasih kepada penonton dan netizen yang menulis pelbagai komen di laman sosialnya meskipun berbaur kecaman. Ia diterima dengan berlapang dada.

Noorkhiriah yang sudah dua dekad menceburi bidang lakonan pernah meraih anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama dan Pelakon Wanita Terbaik Drama di Anugerah Skrin (ASK) TV3.

Untuk drama Nur sebanyak 19 episod, barisan pelakon lain ialah Amyra Rosli, Syafiq Kyle, Datuk Jalaluddin Hassan, Fatimah Abu Bakar dan ramai lagi. – METRO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.