Rakyat berhak adili Dr M jika Tommy gagal

“SAYA ingin ucapkan tahniah kepada beliau dan selamat maju jaya dengan ingatan bahawa tugasan sebagai Peguam Negara bukanlah suatu yang mudah. Semoga berjaya di kerusi panas. Ia bukan mudah kerana ia jawatan yang sukar”.

Itu pesanan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali kepada penggantinya, Tommy Thomas pagi semalam, selepas pihak Istana Negara mengumumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V telah memperkenankan pelantikan peguam itu.

Benarkah ia kerusi panas? Hanya masa yang akan menentukan sama ada kerusi yang bakal diduduki oleh Tommy itu benar-benar panas seperti yang dikatakan oleh Mohamed Apandi, atau sebaliknya.

Yang pasti, kerusi Peguam Negara itu menjadi panas sejak timbul isu dan siasatan terhadap 1MDB ketika negara ditadbir oleh Datuk Seri Najib Razak. Panas sebab yang disiasat ialah Perdana Menteri.

Panas juga sebab Tan Sri Abdul Gani Patail dipecat daripada jawatan Peguam Negara ketika beliau dikatakan bersedia untuk mendakwa Najib selepas mendapat bukti kukuh wujud salah laku dalam skandal 1MDB. Kerusi itu makin panas apabila yang dilantik menggantikannya ialah Mohamed Apandi sendiri yang kemudiannya mengisytiharkan tiada kes terhadap Najib.

Kerusi itu bertambah panas apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Najib tumbang dan digantikan dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH), diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad. Apa tidaknya, jawatan yang dipegang oleh Mohamed Apandi menjadi tumpuan kerajaan baharu.

Cuti tanpa rekod

Kedudukan beliau bertambah panas apabila terpaksa bercuti tanpa rekod selama 30 hari mulai 15 Mei lalu dan Dr Mahathir mengusulkan nama Tommy untuk pertimbangan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V memperkenankan pelantikan Tommy sebagai Peguam Negara, sekali gus menandakan berakhirnya era Mohamed Apandi dan kerusi Peguam Negara sepatutnya menjadi sejuk.

Sebenarnya, apa yang membuat kerusi sesuatu jawatan itu panas bergantung kepada pemegang jawatan. Jika banyak isu dan skandal gagal ditangani, maka kedudukan penjawatnya akan turut bergoncang.

Personaliti positif

Berikutan pelantikan Tommy yang personalitinya dilaporkan sebagai positif oleh banyak pihak, ramai yang berharap jawatan Peguam Negara bebas daripada campur tangan atau dibelenggu kerajaan memerintah atau sesiapa sahaja yang mahu mengambil kesempatan.

Tidak ramai yang tahu mengapa Tommy menjadi pilihan Dr Mahathir dan pemimpin PH untuk bertindak sebagai Peguam Negara. Yang banyak diperkatakan ialah ia ada kaitan dengan kes pendakwaan terhadap Najib berhubung skandal 1MDB.

Namun, diharapkan ia tidak benar. Bukan itu sahaja tugas sebenar Peguam Negara. Kriteria pemilihan tidak semestinya berdasarkan pada satu atau dua faktor sahaja. Lebih penting ialah Peguam Negara mesti bersih daripada sebarang isu, selain berwibawa untuk mendokong undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Agama dan kaum tidak sepatutnya menjadi halangan. Ia dinyatakan secara jelas oleh Yang di-Pertuan Agong dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, pagi semalam.

Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV menyeru semua rakyat Malaysia untuk menerima bahawa pelantikan Peguam Negara Malaysia, tidak patut menimbulkan konflik ke atas kaum atau agama, kerana semua rakyat Malaysia harus dilayan dengan adil tanpa mengira bangsa dan agama.

Dalam kenyataan bertarikh 4 Jun yang dihantar Istana Negara itu, Wan Ahmad Dahlan juga berkata, Seri Paduka bertitah bahawa pelantikan itu tetap memelihara hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera serta kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Setelah mengambil kira pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja tentang pelantikan (i) Peguam Negara Malaysia, (ii) hak Bumiputera serta (iii) peranan Majlis Raja-Raja di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku juga memperkenankan penamatan perkhidmatan Tan Sri Mohamad Apandi Ali sebagai Peguam Negara oleh kerajaan Malaysia.

Berasaskan merit

Justeru, pemilihan Tommy adalah berdasarkan merit. Pasti ada syarat dan peraturan yang perlu beliau patuhi apabila memegang jawatan itu kelak, termasuk yang berkaitan hal ehwal Islam.

Dr Mahathir belum dan mungkin tidak akan mendedah kelebihan Tommy berbanding beberapa calon lain yang dicadangkan banyak pihak, namun sebagai Perdana Menteri berpengalaman, wajar bagi kita memberi peluang kepada Dr Mahathir membuat pilihan.

Ada unit khas

Seperti dimaklumkan, Peguam Negara tidak terbabit dalam urusan perundangan Islam kerana ia terletak dalam bidang kuasa Raja-Raja Melayu kecuali negeri tidak beraja, Parlimen yang akan meluluskan sebarang perubahan terhadap perundangan Islam.

Namun, tidak dinafikan bahawa Pejabat Peguam Negara yang terbabit merangka undang-undang, tetapi di dalam Pejabat Peguam Negara ada unit khas berkaitan undang-undang syariah. Maksudnya, Tommy tidak mengawal perundangan Islam di negara kita.

Sebenarnya, Tommy juga tidak semestinya pakar dalam semua bidang. Semua kita pun sama, bukan tahu dalam serba-serbi, termasuk Dr Mahathir sendiri. Maka, Tommy pasti memerlukan pandangan dan input pegawai perundangan di Pejabat Peguam Negara yang pakar dalam sesuatu bidang sebelum membuat sebarang keputusan.

Justeru, jangan kita bimbang kerana pelantikan beliau telah diputuskan oleh Dr Mahathir dan perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong. Berfikirlah secara positif. Tak perlu timbulkan kekecohan kononnya pemilihan Tommy akan menjejaskan Islam dan orang Melayu sedangkan kita pun tak tahu apa perancangan beliau. Mana tahu, beliau akan membawa perubahan besar, seperti yang kita mahukan, yakni sebuah Malaysia Baharu seperti impian kita semua.

Dr Mahathir yang perlu bertanggungjawab. Kerajaan PH yang perlu memastikan Peguam Negara yang dilantik menunaikan amanah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Perlu diingat, Dr Mahathir yang menasihatkan Yang di-Pertuan Agong supaya memilih Tommy. Maka jika sesuatu berlaku, Dr Mahathir yang rakyat perlu hukum. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.