Menurut Ketua Ahli Ekonomi dan Penyelidikan AmBank Research, Dr. Anthony Dass, dalam masa sama, korporat di Malaysia terutama perniagaan yang dikawal selia berdepan risiko peraturan dan dasar yang tinggi memandangkan pentadbiran baharu cuba melaksanakan janji-janji mereka yang berorientasikan rakyat seperti terkandung dalam manifesto pilihan raya.

Katanya, keadaan itu boleh dilihat apabila keputusan kerajaan menangguhkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR), membatalkan Laluan MRT Tiga (MRT3) dan menyemak semula Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) memberi kesan kepada kerugian ‘order book’ syarikat yang terlibat dalam projek berkenaan iaitu Gamuda Berhad, Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), YTL Corp. dan HSS Engineers Berhad.

“Bagaimanapun, terdapat beberapa ketidaktentuan yang harus diberi tumpuan, termasuklah keputusan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) yang boleh menjadi kacau-bilau, aliran keluar dana berterusan daripada pasaran baharu muncul, penilaian berstruktur terhadap pasaran ekuiti Malaysia dan risiko luaran seperti peningkatan ketegangan perdagangan antarabangsa dan potensi krisis Kesatuan Eropah (EU).

“Namun, di sebalik gangguan faktor luaran ini, kami menjangkakan indeks hasil FBM KLCI diunjur berkembang 5.8 peratus dan tujuh peratus tahun ini dan 2019 disokong pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh pada 5.5 peratus (2018) dan 5.3 peratus (2019).

“Kami juga me­nge­kal­kan sasaran akhir tahun bagi FBM KLCI pada 1,900 mata dan 2,040 mata pada 2019 dengan mengambil kira peningkatan pendapatan masing-masing sebanyak 18.5 kali tahun ini dan 2019,” katanya dalam nota kajian.

Petang ini, indeks FBM KLCI ditutup tinggi pada 1,690.65 mata setelah meningkat 2.20 mata. Ringgit pula ditutup pada RM4.041 berbanding dolar AS.

Dari segi faktor luaran, firma penyelidikan itu mendapati keputusan Rizab Persekutuan AS menaikkan dua kali kadar faedah tahun ini akan menyebabkan empat kali kenaikan secara keseluruhan.

“Kami menjangkakan kadar dasar AS akan membuat pelarasan pada 2.75 hingga tiga peratus pada 2019 yang akan menyaksikan dua lagi kenaikan 25 mata asas tahun hadapan. Dengan mengambil kira faktor tersebut dan pengukuhan dolar Amerika Syarikat, aliran keluar dana daripada pasaran baharu muncul termasuk Malaysia akan berlaku secara berterusan,” katanya.

Sementara itu, Maybank IB Research menjangkakan pertumbuhan KDNK tahun ini le­bih sederhana pada 5.1 peratus berbanding unjuran sebelum ini, 5.3 peratus dan indeks FBM KLCI akan mencecah ke paras 1,750 mata berbanding unjuran 1,840 mata dengan mengambil kira faktor luaran dan juga ketidaktentuan politik dalaman.

Ketua ekonominya, Suhaimi Ilias berkata, ekonomi global akan mencatat pertumbuhan sekitar 3.9 peratus pada separuh kedua 2018 berbanding empat peratus pada separuh pertama dan semakin berkurangan kepada 3.9 peratus pada tahun hadapan.

“Melihat kepada pertumbuhan global yang rendah dan pelaksanaan dasar oleh kerajaan Pakatan Harapan, ia menyebabkan pertumbuhan KDNK lebih rendah tahun ini berban­ding unjuran sebelum ini dan akan terus menyederhana pada 2019.

“Unjuran sebenar kami tahun ini, adalah 5.1 peratus memandangkan kami membuat pelarasan kepada angka pertumbuhan dengan mengambil kira komponen bekalan dan permintaan kepada KDNK dan juga impak pengumuman dasar-dasar baharu oleh kerajaan setakat ini,” katanya. – Utusan Online