Ubah sejarah dengan fakta, bukan auta

MUTAKHIR ini nampaknya semakin galak individu atau pertubuhan yang melabelkan mereka persatuan persahabatan menawarkan fakta baharu sejarah, selain menuduh fakta yang ada dalam buku teks Sejarah di sekolah adalah propaganda kerajaan terdahulu.

Nampaknya mereka bukan sahaja mahu menyelewengkan maklumat dan memutar-belitkan fakta, malah sampai ke tahap mahu pihak berhaluan kiri, pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) yang kononnya turut berjuang untuk mencapai kemerdekaan diberikan pengiktirafan.

Keterbukaan dan kebebasan mengeluarkan pendapat yang diamalkan kerajaan sekarang selaras dengan pendekatan Malaysia Baharu tidak seharusnya memberi ‘lesen besar’ atau peluang untuk bercakap apa saja. Ia tidak seharusnya disalah guna untuk memberi pandangan tanpa beralaskan fakta serta membuat tuntutan keterlaluan sehingga ke tahap tidak lagi menghormati kontrak sosial yang dipersetujui pemimpinterdahulu ketiga-tiga kaum terbesar – Melayu, Cina dan India pada awal kemerdekaan negara.

Amat menyedihkan dan membimbangkan apabila ada pihak begitu lantang memperjuangkan persamaan hak dan kepentingan kaumnya tanpa mengambil kira latar sejarah orang Melayu dan agama Islam, termasuk dalam kalangan Melayu berfikiran universal yang mempersenda dan memperlekeh institusi Islam, ketua agama dan mufti.

Untuk mereka yang kurang memahami makna sejarah, penulis sertakan maksud sejarah atau dalam bahasa Inggerisnya ‘history’. Di Malaysia, kita bersumberkan daripada perkataan Arab iaitu ‘sajaratun’ yang bererti pohon. Dari sisi lain, istilah ‘history’ adalah terjemahan daripada bahasa Yunani iaitu ‘histories’ yang memberi erti satu penyelidikan atau kajian. Untuk itu ‘Bapa Sejarah’, Herodotus menjelaskannya sebagai satu kajian untuk menceritakan satu putaran jatuh bangunnya seseorang tokoh, masyarakat dan peradaban.

Berlandaskan desakan daripada wacana Should We Rewrite Our History Book? (Perlukah Kita Menulis Semula Buku Sejarah) yang berlangsung di Kuala Lumpur, barubaru ini, betulkah kandungannya ada elemen propaganda kerajaan terdahulu? Tumpu kejadian benar Tuduhan berat oleh generasi dilahirkan pasca kemerdekaan itu seharusnya diberi perhatian oleh sejarawan dan penulis teks sejarah Malaysia yang bernaung di bawah Persatuan Sejarah Malaysia (PSM).

Hakikatnya, penulisan sejarah perlu menumpukan kejadian benar supaya tulisan mengenai sejarah negara tidak dipengaruhi kepentingan politik semasa. Sejarah bukanuntukmemenuhi kehendak dunia politik antara dua kuasa, iaitu kerajaan dan pembangkang, khususnya membabitkan soal pentafsiran. Trend mengejar populariti dalam kalangan ahli politik, termasuk mahu muncul sebagai hero dalam kelompok diwakilinya pasti memberi kesan negatif kepada masyarakat umum, terutama pelajar yang keliru untuk memilih fakta atau auta.

Apa yang sudah berlaku tidak perlu diubah. Biarkanlah pakar sahaja mengkaji dan mentafsir sejarah, bukan orang politik membina fakta sejarah sendiri dalam memenuhi agenda peribadinya. Untuk itu, pengkaji, penganalisis dan penulis sejarah mesti berlaku adil terhadap fakta dan zaman peristiwa itu. Masyarakat tidak boleh menghukum perkara atau peristiwa yang lalu dengan mentafsir mengikut masa kini.

Apa yang sudah berlaku tidak boleh diubah kecuali ada bukti baharu yang sahih dan absah bagi membolehkan fakta atau sejarah itu disemak atau diubah. Oleh itu, mana-mana percubaan untuk mengubah sejarah daripada fakta sebenar harus ditegah dan dikenakan tindakan. Bukan semua peristiwa boleh diulang rakam atau ditulis semula.

Ada perkara boleh diketengahkan dan menjadi tatapan umum dan ada yang perlu disembunyikan, apatah lagi kalau ia memberi kesan dan contoh teladan tidak baik kepada generasi akan datang. Cukuplah peristiwa sejarah memberi pengajaran supaya sesuatu kejadian itu tidak berulang seperti Tragedi 13 Mei 1969 di Malaysia, peristiwa Natrah di Singapura pada Disember 1950 dan Holocaust di Eropah era Perang Dunia Kedua di antara 1941 hingga 1945, yang menyaksikan lebih enam juta Yahudi dibunuh tentera Nazi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.