‘Ini jenama mahal kot…’

PENYERTAAN atlet cilik ini cukup bergaya dengan memakai tali pinggang jenama Kiki Lala dan seluar sekolah yang mencuri tumpuan umum ketika penampilan sulungnya pada Sukan Asia 2018 di Jakarta-Palembang, baru-baru ini.

Malah, atlet papan selaju negara, Ian Nuriman Amri, 11, juga sekelip mata menjadi tular di media sosial apabila netizen merasakan dia terlalu ‘comel’ dengan memakai tali pinggang dan seluar sekolah berkenaan.

Ian Nuriman berkata, dia beranggapan tidak salah memakai pakaian apa sekalipun untuk bermain papan selaju asalkan dirinya selesa.

“Saya pakai Kiki Lala sebab ‘branded’ (berjenama) dan kenapa orang macam nak rasa kasihan pula, ini jenama mahal kot.

“Malah, saya suka pakai seluar sekolah kerana tahan, kalau pakai seluar ‘track suit’ cepat koyak apabila terjatuh,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Ian Nuriman menjadi atlet paling muda dalam kontinjen Malaysia yang beraksi di Sukan Asia dan menarik perhatian khalayak apabila terkejut melihatnya yang berketinggian hanya 135 sentimeter memasuki gelanggang di Stadium SkateBoard, Bandar Sukan Jakabaring, Palembang.

Bagaimanapun, murid Sekolah Kebangsaan Tiara Permai, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur itu gagal melepasi pusingan kelayakan acara Park lelaki dengan menamatkan saingan di tempat kesembilan daripada 10 peserta dengan mengumpul 49 mata.

Katanya, dia tidak mengambil pusing mengenai pendapat ramai mengatakan pakaiannya tidak bersesuaian dengan sukan ekstrem itu.

“Biarlah kalau orang nak ejek ke apa? Biasalah mak cik dan pak cik bawang sibuk hal orang. Apa yang penting selesa, bukan tengok jenama.

“Ramai cakap sebab keluarga saya tidak mampu tetapi sebenarnya boleh saja kalau saya nak beli jenama seperti Gucci ke, tetapi sayanglah nak pakai, orang kaya pun mesti tak pakai untuk main papan selaju,” selorohnya.

Dia yang bermain papan selaju sejak berusia empat tahun memang minat sukan lasak itu lebih-lebih lagi bapanya juga mempunyai minat yang sama.

“Saya selalu ikut ayah dan kawannya sebelum ini dan terus minat.

“Sukan Asia adalah pertandingan terbesar yang saya masuk setakat ini, tetapi kalau di Malaysia selalu saja masuk pertandingan lain,” katanya.-HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.