Hukuman perlu diberi pengajaran dan iktibar – KSN

KUANTAN 6 Okt. — Pengurusan modal insan yang efektif dalam perkhidmatan awam tidak seharusnya tertumpu kepada aspek ganjaran semata-mata tetapi juga aspek hukuman terhadap anggota yang melakukan kesalahan dan melanggar peraturan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata langkah itu akan dapat memberi pengajaran dan iktibar kepada anggota lain agar tidak melakukan kesalahan yang boleh menjejaskan integriti dan kredibiliti perkhidmatan.

Bagi membentuk perkhidmatan awam yang lebih berprestasi tinggi, katanya perlu diwujudkan ‘polisi keluar’ yang jelas bagi anggota yang bermasalah, tidak berdisiplin atau tidak menunjukkan prestasi perkhidmatan yang sepatutnya.

“Aspek ini perlu dikaji untuk dimantapkan lagi pelaksanaannya, mahupun mendapatkan kaedah yang terbaik bagi melepaskan anggota-anggota yang bermasalah dari terus berkhidmat di dalam perkhidmatan awam,” katanya ketika berucap pada majlis penutup Persidangan Suruhanjaya-Suruhanjaya Perkhidmatan Awam di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Mohd. Sidek berkata, sebarang tindakan yang diambil hendaklah telus dan adil bagi mengelakkan sebarang penganiayaan.

Ketua Setiausaha Negara juga mahu proses pemilihan pegawai untuk berkhidmat dalam perkhidmatan awam perlu lebih ketat agar mereka yang terpilih betul-betul membanggakan perkhidmatan itu. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.