JPN jelaskan isu pengeluaran kad pengenalan

KUALA LUMPUR 6 Okt. — Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikan dakwaan bahawa pihaknya mengeluarkan kad pengenalan palsu yang kononnya terdapat dalam Daftar Pemilih Induk (DPI) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ia turut berkata, tiada keperluan untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat dakwaan penyelewengan pengeluaran kad pengenalan kerana JPN hanya mengeluarkan kad berkenaan kepada mereka yag benar-benar layak berdasarkan peruntukan perundangan negara.

“Adalah ditegaskan bahawa JPN tidak pernah mengeluarkan kad pengenalan palsu dan sebaliknya hanya membekalkan rekod sahih sahaja kepada SPR untuk tujuan semakan identiti daftar pemilih,” kata JPN dalam satu kenyataan hari ini.

Menjelaskan isu individu yang didakwa mempunyai nama yang sama dan memiliki nombor kad pengenalan hampir sama, JPN berkata rekod jabatan menunjukkan sembilan daripada 10 nama disahkan merupakan individu berlainan berdasarkan gambar dan cap jari yang berbeza.

“Mereka mempunyai persamaan hanya pada nama dan tarikh lahir sahaja. Individu ke-10, Azinah binti Mohd Fazin (800820-02-5150) tiada rekod di jabatan ini,” kata kenyataan itu.

JPN menjelaskan kod negara “71” yang terdapat dalam nombor pengenalan diri digunakan mulai 1990, dan pada masa itu kod khusus bagi setiap negara luar masih belum diwujudkan dengan hanya kod negara 71 diguna pakai bagi semua kelahiran warga Malaysia dan pemastautin tetap Malaysia di luar negara.

“Mulai 2001, kod negara secara khusus bagi pengenalpastian negara kelahiran individu diwujudkan bertujuan membezakan kod kelahiran individu di luar negara,” kata JPN, sambil menambah nombor pengenalan diri yang dikeluarkan menggunakan kod negara 71 sebelum ini, adalah sah dan terpakai bagi pemilik sedia ada. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.