Kursus praperkahwinan perlu disusun semula – Jamil Khir

KUALA LUMPUR 5 Okt. – Kursus praperkahwinan yang kini diwajibkan kepada pasangan yang akan bernikah perlu disusun semula agar ia lebih bersesuaian dengan isu semasa terutama dengan gaya hidup golongan muda yang semakin berubah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, gaya hidup golongan muda kini berbeza dari masa dahulu dan perlu diambil kira sebagai salah satu punca kepada timbunan masalah perceraian di kalangan golongan itu.

“Saya melihat dalam konteks yang lebih luas, gaya hidup mereka, kehidupan sosial, pendidikan dan akhlak yang sudah menjadi lumrah, bahkan mereka melihat perceraian sebagai satu gaya hidup,” katanya menjawab soalan Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) mengenai meningkatnya kes perceraian bagi golongan itu sungguhpun mereka telah mengikuti kursus praperkahwinan.

Jamil Khir juga berkata, bagi mempercepatkan perbicaraan kes di mahkamah syariah, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) bersama Jabatan Kehakiman Syariah Negeri telah merangka dan meluluskan 125 arahan amalan daripada pelbagai sudut pengurusan bermula pada 2000 hingga tahun lepas. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.