Safee, Mat Yo mahu gempur

KUALA LUMPUR – Setelah sekian lama tidak bersama, Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha akan kembali digandingkan pada aksi persahabatan menentang Australia di Stadium Canberra, esok.

Dua penyerang itu yang menjadi nadi kejayaan negara pada Piala Suzuki AFF tahun lalu dijangka diturunkan bagi menembusi pertahanan pertahanan Australia yang diterajui bekas pemain Blackburn dan West Ham, Lucas Neill.

Safee berkata, dia gembira kerana kembali dapat beraksi dengan Norshahrul setelah terlepas dua perlawanan kelayakan Piala Dunia 2014 ekoran masalah kecederaan ketika berdepan Singapura, Julai lalu.

“Saya memang serasi dengan Mat Yo (Norshahrul). Walaupun tempoh latihan untuk berdepan Australia agak singkat, saya tiada masalah bergandingan dengan Mat Yo kerana sudah masak dengan corak permainan masing-masing.

Norshahrul Idlan Talaha

“Saya yakin kami mampu mencipta jaringan apabila bertemu Australia nanti, ” katanya ketika ditemui di Wisma FAM, baru-baru ini.

Safee mengakui bukan mudah untuk melakar kejutan ke atas Australia namun berazam mahu menggunakan pengalaman ‘berguru’ di Cardiff City bagi membantu skuad Harimau Malaya.

“Perlawanan dengan Australia memang kena pada masanya. Selepas pulang dari Cardiff, sudah tentu saya bersemangat mahu membuktikan sesuatu.

“Saya juga mahu ambil kesempatan ini mahu memikat mana-mana jurulatih di Liga Australia, mana tahu ada rezeki saya boleh bermain di sana, ” ujarnya.

Norshahrul pula melahirkan sedikit kerisauan mengenai persefahaman dengan pemain baru yang disifatkan masih belum berada pada tahap memuaskan biarpun mengakui tiada sebarang masalah beraksi bersama Safee.

“Tempoh latihan sebelum ke Australia agak singkat, beberapa pemain baru terutama pada bahagian tengah masih belum agak serasi dengan saya.

“Mungkin selepas beberapa perlawanan persahabatan, mereka (pemain baru) boleh mengikut rentak pemain-pemain lain.

“Namun dengan kehadiran Safee, saya cukup bersemangat dan yakin untuk memburu gol ketika bertemu Australia, ” katanya.
Sumber-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.