Ustazah Pilihan janji kelainan

SELEPAS kejayaan program Imam Muda, Astro tampil dengan Ustazah Pilihan iaitu yang berbentuk pencarian pendakwah di kalangan wanita.

Walaupun ramai menjangka perjalanan program itu mirip Imam Muda, namun Pengurus Astro Oasis, Izelan Basar menjelaskan, Ustazah Pilihan menampilkan kelainan.

Kata Izelan, program itu menyelitkan pendekatan mendidik wanita untuk menjadi muslimah yang lebih baik.

“Program ini menyajikan pengisian yang lebih padat. Apabila kita melahirkan program seumpama ini, kita membuat pengamatan yang lebih halus tentang kelebihan yang dimiliki wanita hari ini yang dilihat berperanan menegakkan syiar Islam di Malaysia.

“Dalam membuat tapisan peserta, kita memilih mereka yang mempunyai kekuatan bukan sahaja daripada segi pendidikan agama tetapi juga akademik yang membanggakan.

“Justeru, bukan mudah untuk membuat pilihan, apatah lagi ini ialah musim pertama program ini ke udara,” katanya pada majlis memperkenalkan 11 peserta Ustazah Pilihan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Katanya, apabila program 10 episod itu disiarkan bermula malam ini, penonton dapat melihat matlamat penerbitan programnya.

Jelasnya, program itu bukan hanya mencari seorang pendakwah di kalangan wanita tetapi juga pendakwah wanita berkualiti.

Mengimbau semula sesi temuduga yang telah diadakan bagi mencari peserta program, Izelan berkata, walaupun ia diadakan di empat negeri sahaja namun sambutan yang diterima amat menggalakkan.

“Memanglah pada asalnya kita hanya mahu 10 peserta sahaja. Tetapi kita tambah seorang lagi kerana sewaktu sesi temuduga semua mereka menunjukkan kualiti yang sukar untuk kami tolak,” katanya.

Tambah beliau, peserta Ustazah Pilihan bukan hanya dinilai tahap pengetahuan tetapi juga keupayaan mendalami ilmu agama.

“Kesemua peserta akan dipimpin oleh Pengetua, Dr. Robiah K Hamzah yang dibantu oleh dua tenaga pengajar iaitu Prof. Dr. Muhaya Mohamad dan Ustazah Zawiah Hassan.

“Setiap episod akan ada penyingkiran berdasarkan prestasi yang ditunjukkan oleh para peserta sepanjang program berlangsung,” ujarnya.

Semua 11 peserta Ustazah Pilihan ialah Nur Atieqah Mohd. Zainudin, Nur Aqidah Mawardi, Nun Faizah Rohana Mustapha, Siti Fatimah Mad Yatim , Masfira Hilman , Firuz Akhtar Mohamad Bohari, Siti Norhafiza Ghazali, Nurul Hidayah Kamarudin, Shazmeen Mohd. Din, Siti Fatimah Mohd. Sharif dan Maryanti Ramle.

Sementara itu, peserta termuda Ustazah Pilihan, Nur Atieqah Mohd Zainudin, 20, melahirkan rasa bertuah kerana terpilih sebagai peserta musim pertama program tersebut.

“Walaupun saya terpaksa menangguhkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) untuk menyertai program ini, saya tidak rasa rugi kerana dapat menuntut ilmu dengan beberapa tokoh agama yang disegani.

“Ilmu merupakan harta paling mahal untuk kita sebagai manusia. Tujuan utama saya menyertai program ini adalah untuk menimba ilmu sebanyak mungkin dalam membentuk saya menjadi seorang pendakwah wanita suatu hari nanti,” katanya.

Bagi Siti Fatimah Mohd. Sharif pula, status sebagai isteri tidak menghalangnya menyertai program Ustazah Pilihan.

Malah dengan sokongan padu dari suami, dia percaya keputusannya menyertai program ini akan membantu meningkatkan tahap keyakinannya sebagai seorang guru.

“Saya bersyukur kerana suami faham akan tujuan utama saya menyertai program pencarian ini dan itu sebenarnya banyak membantu menaikkan semangat saya untuk terus menimba ilmu menerusi program ini,” katanya.
Sumber-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.