Venue Sukan SEA Palembang dijangka banjir

JAKARTA 6 Okt. — Forum alam sekitar Indonesia Wahana Lingkungan Hidup Indonesia (Walhi) cawangan Palembang memberi amaran musim hujan yang melanda rantau ini hujung bulan ini akan menyebabkan banjir di beberapa venue Sukan SEA.

Pegawainya, Hadi Jatmiko berkata, ibu kota Sumatera Selatan itu mempunyai sejarah kejadian bajir ketika musim tengkujuh, dan tahun lepas sahaja Palembang dilanda banjir 48 kali.

Paling buruk ialah pusat utama temasya iaitu Bandar Raya Sukan Jakabaring yang dibangunkan di atas bekas kawasan paya, kata Hadi kepada Jakarta Globe dalam laporan eksklusifnya pada Khamis.

“Sumatera Selatan kini menghampiri penghujung musim kemarau dan menurut BMKG (Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika) musim hujan akan bermula pada akhir Oktober. Banjir dijangka melanda venue Sukan SEA,” katanya.

Hadi berkata Walhi telah menentang keras pembinaan stadium untuk acara sukan antarabangsa itu kerana percaya pembinaan tersebut akan memburukkan lagi keadaan banjir di bandar raya berkenaan.

Beliau turut menasihatkan pihak berkuasa tempatan agar bersedia untuk kejadian banjir besar. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.