Schultz, 64, menjadi pengerusi eksekutif Starbucks selepas meletak jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif pada April tahun lepas dan menyerahkan tanggungjawab itu kepada Kevin Johnson.

Menurut Starbucks dalam satu kenyataan, Schultz akan meninggalkan syarikat itu pada akhir bulan ini dan menerima gelaran kehormat sebagai pengerusi emeritus.

Pengumuman Schultz pantas mencetuskan spekulasi bahawa bahawa mungkin bercadang menceburi bidang politik sebagai ahli Demokrat dan bertanding untuk ke White House dua tahun lagi.

“Saya belum memutuskan langkah seterusnya, tetapi ketika ini saya sangat prihatin terhadap negara kita, dengan perpecahan yang semakin berkembang di dalam negara serta kedudukan kita di dunia,” katanya kepada akhbar New York Times.

Schultz, yang secara terbuka mengkritik Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menegaskan, salah satu perkara yang ingin lakukannya adalah mengetahui apakah ada peranan yang dapat dimainkan untuk berbakti kepada masyarakat.

“Saya berhasrat untuk memikirkan pelbagai pilihan, dan ia mungkin merangkumi perkhidmatan awam. Tetapi masih terlalu awal untuk saya membuat keputusan mengenai masa depan.

“Saya mahu berkhidmat kepada negara kita, tetapi itu tidak bermakna saya perlu bertanding ke pejabat awam untuk melaksanakannya,” kata Schultz.

Schultz yang menyertai Starbucks pada 1982 sebagai pengarah operasi dan pemasaran, berjaya mengubah sebuah syarikat penyedia minuman berasaskan kopi yang kecil berpusat di Seattle itu menjadi gergasi global dengan lebih daripada 28,000 cawangan di 77 negara.

“Saya berusaha untuk membina sebuah syarikat yang bapa saya, seorang pekerja kolar biru dan veteran Perang Dunia Kedua, tidak pernah mempunyai peluang untuk bekerja,” kata Schultz dalam surat terbuka kepada pekerja dan bekas pekerja Starbucks.

Persaraan Schultz diumumkan seminggu selepas syarikat itu menutup lebih daripada 8,000 cawangan di AS mengadakan latihan kesedaran perkauman kepada lebih 175,000 pekerjanya. – AFP

Tindakan itu susulan penangkapan dua lelaki kulit hitam di Starbucks Philadelphia yang mencetus kemarahan, protes dan kesedaran mengenai ketegangan kaum yang semakin parah di bawah kepimpinan Trump. – AFP/UTUSAN ONLINE