Jamal Yunos lari guna laluan tikus

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) percaya Datuk Seri Jamal Yunos menggunakan laluan tikus untuk melarikan diri ke negara jiran.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata pihaknya sudah mendapatkan kerjasama pihak berkuasa Indonesia untuk membantu mengesan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu.

“Daripada risikan, kita percaya dia kini berada di Indonesia dan kami kini sedang giat mengesan lokasi sebenar Jamal.

“Kita percaya dia menggunakan laluan tikus untuk keluar dari negara ini selepas pihak Imigresen tidak mempunyai rekod menunjukkan dia keluar dari negara ini,” katanya pada sidang media selepas hadir melancarkan Op Selamat 13 sempena perayaan Aidilfitri 2018 di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohamad Fuzi memaklumkan pihaknya juga sedang mengesan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman yang dipercayai menjadikan Brunei sebagai transit sebelum keluar meninggalkan negara.

Beliau berkata, pihak Imigresen tidak mempunyai rekod Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu meninggalkan negara, namun polis percaya beliau keluar melalui Brunei.

“Kita tengah kesan beliau (Musa), ada yang mengatakan berada di Brunei tetapi tiada lokasi yang spesifik.

“Saya juga sudah memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa Brunei untuk membantu kita mengesan Musa sekiranya berada di negara terbabit,” katanya. BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.