Jho Low Akan Bantu Siasatan, Arah Peguam Hubungi SPRM

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low berkata dia akan membantu siasatan berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhada (1MDB) selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggilnya untuk disoal siasat, lapor Bloomberg.

Low telah mengarahkan peguamnya untuk berhubung dengan SPRM selepas dia mengetahui suruhanjaya itu memanggilnya bagi membantu siasatan, kata wakilnya dalam satu kenyataan yang dihantar melalui e-mel.

Jho Low dianggap sebagai ‘saksi terbaik’ untuk menyediakan maklumat berhubung jenayah yang didakwa membabitkan skandal 1MDB.

Jho Low yang sebelum ini berkata dia tidak melakukan kerja perundingan untuk 1MDB, digambarkan beberapa penyiasat global sebagai dalang di sebalik beberapa skim membabitkan dana yang hilang di syarikat pelaburan negeri itu.

Dia bagaimanapun menafikan sebarang salah laku.

Penyiasat Malaysia memberi tumpuan kepada SRC iaitu bekas anak syarikat 1MDB ketika memperbaharui siasatan mereka.

SPRM meminta Jho Low tampil untuk membantu siasatan selepas suruhanjaya itu memanggil bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor untuk memberi keterangan berhubung SRC.

SPRM turut mencari Pengarah SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil Nik Othman Arif Kamil.

Menurut laporan media, Jho Low kini berada di pelbagai negara termasuk Thailand, Hong Kong dan Australia manakala lokasi Nik Faisal tidak diketahui.-MS.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.