Kes 1MDB : Abu Talib Harap Tommy Berlaku Adil Buat Pendakwaan

KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Abu Talib Othman berharap Peguam Negara, Tommy Thomas akan berlaku adil apabila mendakwa mereka yang terbabit dalam skandal berkenaan.

Abu Talib berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat bersama Majlis Penasihat Kerajaan (MPK) di Menara Ilham, di sini, hari ini.

Bekas Peguam Negara itu turut mengucapkan tahniah kepada Thomas atas pelantikan beliau sambil menambah pasukan penyelidik akan menyerahkan laporan berkaitan kepada Jabatan Peguam Negara sebaik siasatan selesai.

“Kami mengucapkan tahniah kepadanya (Thomas) atas pelantikannya. Beliau ada berkata perlu mengkaji laporan itu sebaik diserahkan, jadi kami harap beliau lakukan yang terbaik.

“Kami berharap beliau akan memastikan keadilan untuk semua, keadilan kepada negara dan individu yang tidak mematuhi undang-undang,” katanya.

Apabila ditanya mengenai status siasatan berterusan 1MDB, Abu Talib enggan mendedahkan butiran lanjut, namun jawatankuasa berkenaan akan mengadakan mesyuarat berterusan sehingga perkara itu diselesaikan.

Pada 30 Mei lalu, jawatankuasa yang bertanggungjawab menyelaraskan siasatan berkaitan 1MDB, bertemu Jabatan Audit dan Kementerian Kewangan untuk mendapatkan penjelasan mengenai laporan yang dikemukakan sekarang.

Laporan itu diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi pada 22 Januari 2016 dan diserahkan kepada Parlimen melalui Jawatankuasa Akaun Awam pada 4 Mac 2016.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.