Kes Bayi Hilang: Polis Tahan Lelaki Nepal

MUAR: Polis menahan seorang lelaki warga Nepal berusia 25 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes seorang bayi perempuan berusia 17 bulan yang dilarikan dari rumah keluarganya di Kampung Parit Lanjut, Mukim Sungai Terap di sini, pagi tadi.

Lelaki terbabit ditahan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Johor dan Polis Daerah Muar di sebuah rumah kongsi di Kampung Bukit Treh kira-kira jam 9 pagi tadi bersama-sama dengan sebuah telefon bimbit yang turut dilarikan dalam kes berkenaan.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip, berkata hasil daripada penahanan suspek dan soal siasat yang dilakukan kemudiannya membawa kepada penemuan bayi perempuan berkenaan.

“Hasil daripada soal siasat yang kita lakukan akhirnya membawa kepada penemuan mangsa iaitu bayi perempuan berkenaan di satu kawasan belukar kira-kira satu kilometer daripada rumah keluarga mangsa kira-kira jam 3.45 petang.

Nur Aisyah Hasmizan yang dilaporkan hilang kira-kira jam 4 pagi dilarikan individu yang memecah masuk ke kediaman keluarga mangsa di Kampung Parit Lanjut, Mukim Sungai Terap, Muar. – Foto Adi Safri

“Mangsa yang dalam keadaan bersendirian kemudiannya diselamatkan oleh pihak polis dan kemudiannya dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF),” katanya dalam satu kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihak polis juga masih melakukan siasatan menyeluruh terhadap kes terbabit.

Katanya, kes disiasat mengikut Sekyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik dan Sekyen 457 kanun yang sama kerana pecah masuk kediaman.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.