Kad raya istimewa itu merupakan sebuah lukisan karikatur khas yang memaparkan wajah Syafiq dan suasana kampung di hari lebaran.

Selain itu, peminat juga akan berpeluang memiliki kad raya istimewa tersebut berserta dengan ucapan dan tanda tangan khas daripada pelakon drama popular Nur itu.

Utusan kad raya bersama-sama pantun ini merupakan buah tangan istimewa Syafiq kepada peminat dan penyokong tegarnya.

“Ini merupakan kali pertama saya buat projek kad raya begini. Biarpun sekarang ini orang lebih suka mengucap Selamat Hari Raya Aidilfitri menerusi aplikasi WhatsApp tapi saya pilih nak buat cara lama sebagai tanda penghargaan kepada semua peminat di seluruh negara.

“Pada mulanya saya rasakan penyediaan kad raya istimewa ini agak melecehkan tetapi sangkaan saya meleset. Rupa-rupanya sangat menyeronokkan,” katanya.

Jelas Syafiq, aktiviti istimewa ini bertujuan untuk mengembalikan tradisi dan nostalgia serta memeriahkan lagi suasana menjelang hari raya.

Pelakon itu juga berharap kiriman kad raya daripadanya itu dapat mewujudkan kemeriahan suasana hari raya dan mengeratkan silaturahim sesama insan. – UTUSAN ONLINE