World #Quran Hour terima tetamu diraja

GOMBAK: Penganjuran World #Quran Hour buat kali ketiga tahun ini menerima penyertaan istimewa daripada tetamu diraja, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Keberangkatan tiba baginda di lokasi perdana World #Quran Hour di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini dijadualkan pada jam 11.30 pagi ini sebagai tanda sokongan membentuk solidariti ummah di seluruh dunia untuk berinteraksi dengan al-Quran.

Perkenan baginda mencemar duli itu secara tidak langsung mampu membawa mesej jelas kepada umat Islam mengenai pentingnya kembali kepada al-Quran demi penyatuan ummah.

Penganjur, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (YWUI) dalam kenyataannya berkata, selain UIAM, Gombak, lebih 3,000 lokasi lain turut telah berdaftar di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak serta 67 lokasi di 32 buah negara termasuk Makkah dan Madinah.

“Ramai pimpinan daripada parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) bakal menyertai program interaksi bersama al-Quran ini.

“Antaranya Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim, Ketua Umum PKR merangkap bekas Presiden UIAM, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abd Rahman,” katanya.

Program bacaan al-Quran selama satu jam ini dimulakan dengan pembukaan mengaji surah Al-Fatihah oleh Mohamad Nordin diikuti surah Ali ‘Imran ayat 103 hingga 105 oleh Anwar.

Turut hadir, duta dan wakil kedutaan daripada 17 buah negara antaranya Pakistan, Turki, Syria, Iraq, Brunei, Indonesia, Iran, Sudan dan Yaman. BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.