Punca Griezmann tak rai gol

PENGENDALI Perancis, Didier Deschamps (kiri) memeluk Antoine Griezmann pada saingan suku akhir Piala Dunia Russia di Nizhny Novgorod, sebentar tadi. – Foto EPA-EFE

NIZHNY NOVGOROD, Russia: Antoine Griezmann berkata dia tidak meraikan jaringannya ke atas Uruguay pada aksi suku akhir Piala Dunia kerana menghormati pasukan dari Amerika Selatan itu.

Griezmann meledak gol kedua Perancis pada minit ke-61 dalam kemenangan 2-0 itu, apabila rembatannya dari luar kotak penalti ditampan penjaga gol Uruguay, Fernando Muslera ke gawang sendiri.

Ketika rakan sepasukan mengerumuninya untuk meraikan jaringan, Griezmann hanya berdiri kaku walaupun gol berkenaan mengesahkan kemaraan Perancis ke separuh akhir Piala Dunia buat pertama kali dalam tempoh 12 tahun.

“Saya tidak meraikan jaringan kerana ketika saya bermula sebagai pemain profesional, saya diberi sokongan oleh pemain Uruguay, yang mengajar saya baik dan buruk dalam bola sepak,” kata Griezmann.

“Atas rasa hormat, saya rasa tidak wajar untuk saya meraikan gol berkenaan.”

Sebelum perlawanan itu, Griezmann bercakap tentang hubungan rapatnya dengan Uruguay dan persahabatan yang terjalin dengan dua pemain negara itu, Jose Gimenez dan Diego Godin.

Griezmann bergandingan dengan Gimenez dan Godin di Atletico Madrid, malah memakai baju Uruguay di lapangan terbang ketika menyambut rakan sepasukannya itu apabila mereka layak ke Russia. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.