Gugur jantung teringat insiden cemas itu – Elvina

KUALA LUMPUR: Pelakon, Datin Elvina Mohamad sekali lagi berdepan detik cemas apabila kandungannya yang berusia 19 minggu berhenti bergerak hampir seharian selepas mengalami keracunan makanan.

Disebabkan kaget, Elvina, 23, berkata dia bergegas ke klinik untuk membuat pemeriksaan lanjut dan dinasihatkan doktor supaya lebih berhati-hati dengan pengambilan makanan.

“Ketika kejadian, saya berada di Melaka dan begitu berselera menikmati pelbagai hidangan. Mungkin tersalah makan, saya berulang kali muntah, malah sehingga Subuh, masalah itu masih berlarutan.

“Saya cemas apabila bayi yang dikandung tidak bergerak, sedangkan sebelum ini begitu aktif. Hampir seharian saya tidak merasai pergerakan bayi. Disebabkan risau, saya meminta suami hantar ke klinik berdekatan untuk pemeriksaan kandungan.

“Doktor memaklumkan, badan saya kekurangan air dan ia memberi kesan kepada bayi. Hampir gugur jantung apabila mengenangkan kejadian itu. Alhamdulillah, mujur semuanya baik-baik saja,” katanya.

Pelakon kelahiran Teluk Intan, Perak yang popular menerusi drama, Mariam Alisa dan Jojie Gigil itu berkata, berat badannya juga meningkat gara-gara dia begitu berselera menikmati makanan sepanjang kehamilan.

Bakal menimang cahaya mata lelaki yang dijangka dilahirkan akhir tahun ini, Elvina sudah mula berehat daripada aktiviti lakonan dan hanya akan kembali aktif selepas selesai tempoh berpantang.

“Sebelum ini, saya pernah mengalami pendarahan pada awal kehamilan kerana terlalu aktif. Disebabkan tidak mahu mengambil risiko, selepas berbincang dengan suami, saya mengambil keputusan untuk berehat seketika,” katanya.

Elvina mendirikan rumah tangga dengan usahawan dan selebriti sukan permotoran, Datuk Mohd Haniff Borhan, 32, pada 18 Mac lalu.-BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.