Belanjawan 2012: Najib Umum Dasar Transformasi Nasional Pacu Negara Hingga 2020

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Belanjawan 2012 berjumlah RM232.8 bilion, dan mengumumkan Dasar Transformasi Nasional (DTN) bagi menaungi program-program transformasi yang telah dan akan dilaksanakan ke arah menjayakan cita-cita mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu dan maju menjelang tahun 2020. Perdana Menteri berkata dasar itu, yang menjadi kemuncak kepada semua program dan inisiatif untuk menjadi negara maju, bermula tahun ini sehinggalah tahun 2020. Sejak mengambil alih kepimpinan negara pada 2009, Najib memperkenalkan falsafah pentadbiran 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan sebelum menyusuli dengan Program Transformasi Nasional (GTP), Program Transformasi Ekonomi dan baru-baru ini, Program Transformasi Politik untuk menjadikan Malaysia negara moden, progresif dengan demokrasi yang berfungsi. Ketika membentangkan Belanjawan 2012 bertemakan “Dasar Transformasi Nasional: Bajet Membela Rakyat, Mensejahtera Negara” di Dewan Rakyat pada Jumaat, Najib yang juga Menteri Kewangan, menggariskan strategi merangsangkan ekonomi, sambil menyarankan program inklusif yang peka terhadap kesejahteraan rakyat dalam menangani kos sara hidup yang meningkat. Belanjawan kali ini cuba memberi keselesaan kepada setiap lapisan rakyat, daripada golongan gelandangan, pemandu teksi, nelayan, warga emas, peneroka Felda, penjawat awam dan pesara, golongan wanita dan belia, hinggalah kepada kalangan kontraktor dan pelabur. Malah, Anggota-anggota Parlimen juga bakal menikmati elaun baru serta kemudahan lain.

Dalam ucapannya selama dua jam 10 minit itu, Perdana Menteri yang yakin dengan keutuhan asas ekonomi negara beserta langkah-langkah rangsangan, berkata ekonomi negara dijangka tumbuh antara 5 peratus dan 6 peratus tahun depan.

Katanya pelaburan swasta dan awam dijangka meningkat, disokong peningkatan pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaksanaan projek ETP dan Rolling Plan Kedua (RP-Kedua) di bawah Rancangan Malaysia Ke-10.

Belanjawan 2012 menyediakan peruntukan RM181.6 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM51.2 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Najib berkata defisit kerajaan Persekutuan bagi 2012 dijangka terus berkurangan kepada 4.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 5.4 peratus pada 2011.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.