Belanjawan diharap bantu kaum India

KUALA LUMPUR 6 Okt. – Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) berharap Belanjawan 2012 yang akan dibentangkan esok memberi manfaat kepada kaum itu untuk terlibat dalam bidang keusahawanan.

Presidennya, Datuk K.K. Eswaran berkata, MAICCI pernah menyuarakan kepada kerajaan agar mewujudkan dana tambahan sebagai bantuan kepada usahawan muda India memajukan perniagaan mereka dalam industri kecil dan sederhana (IKS).

“Dana itu sama seperti kemudahan mikro kredit iaitu modal permulaan maksimum RM10,000 dengan tempoh bayaran balik yang lebih panjang bagi mendorong lebih ramai usahawan muda menceburi dunia perniagaan.

“Kerajaan juga perlu memastikan institusi kewangan tidak mengenakan syarat-syarat yang ketat sebagai kelayakan terhadap pemohon mendapatkan bantuan tersebut,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Sementara itu, Presiden Gabungan Konsortium Pengilang Bumiputera, Datuk Dr. Abd. Rashid Mohd Ali berharap kuota bumiputera dalam melaksanakan projek pembangunan dapat dikekalkan.

“Kerajaan seharusnya mengekalkan atau menambah dasar kuota pengagihan projek kepada golongan bumiputera bagi memastikan tiada monopoli oleh pihak lain,” katanya.

Belanjawan yang akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diharap lebih membantu rakyat bagi memastikan mandat pemerintahan dapat dikekalkan.
Sumber-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.