Manfaat untuk semua – PM

KUALA LUMPUR 6 Okt. – Belanjawan 2012, yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat esok, disifatkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai “Belanjawan transformasi untuk semua rakyat Malaysia”.

Menekankan pendekatan inklusif kerajaan, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, lebih ramai akan menikmati manfaat daripada belanjawan sederhana dan berhemat pada tahun ini.

Intipatinya akan termasuk dasar-dasar baharu untuk menangani kos kehidupan dalam waktu-waktu sukar dan pada masa sama, mengekalkan pendekatan bertanggungjawab dari segi menjamin kedudukan fiskal dalam menguruskan ekonomi.

“Belanjawan ini adalah mengenai kerajaan mengotakan janji-janji kami untuk menjamin keadilan sosial dan pada masa sama, memastikan negara kita berada di landasan ekonomi yang kukuh yang akan membawa kemakmuran dan kesejahteraan jangka panjang untuk semua.

“Ini belanjawan transformasi yang sebenar untuk semua rakyat Malaysia, iaitu yang akan menentukan hala tuju kita ke arah menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi,” kata Najib dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya sebelum pengumuman Belanjawan 2012, esok.

“Selaras dengan prinsip 1Malaysia – Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan — saya memberi tumpuan sepenuhnya untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi dan mengurangkan defisit, tetapi tidak akan berbuat demikian dengan mempertaruhkan kebajikan rakyat biasa,” katanya. – Bernama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.