UAE Gantung Perkhidmatan BlackBerry

DUBAI 2 Ogos. – Emiriyah Arab Bersatu (UAE) akan menggantung perkhidmatan BlackBerry Messenger, e-mel dan web-browsing mulai 11 Okt, 2010.

“Langkah penggantungan ini diambil susulan kegagalan percubaan berterusan membawa masuk perkhidmatan Blackberry ke UAE sejak 2007 mematuhi peraturan telekomunikasi UAE,” demikian menurut Pihak Berkuasa Kawal Selia Telekomunikasi (TRA) negara Teluk ini.

Dalam satu kenyataan, TRA berkata keputusan itu dibuat berdasarkan hakikat bahawa dalam bentuk semasa, perkhidmatan-perkhidmatan tertentu BlackBerry membolehkan pengguna bertindak tanpa sebarang tanggungjawab perundangan, hingga “menimbulkan kebimbangan dari sudut perundangan, sosial dan keselamatan negara bagi UAE”.

Ia menjelaskan bahawa semua perkhidmatan BlackBerry terletak dalam rangka kerja kawal selia UAE yang dibangunkan oleh TRA sejak 2007.

“Bagaimanapun, disebabkan oleh konfigurasi teknikal BlackBerry, beberapa perkhidmatan BlackBerry beroperasi melampaui penguatkuasaan peraturan ini.

“Data-data Blackberry segera dieksport ke luar negara, di mana ia diuruskan oleh sebuah organisasi komersial asing. Perkhidmatan data Blackberry kini merupakan satu-satunya perkhidmatan data yang beroperasi di UAE yang menimbulkan keadaan ini,” jelas TRA.

Pengendali telekomunikasi utama UAE -– Etisalat dan du -– telah diberitahu tentang keputusan itu pada Ahad.

Syarikat-syarikat itu diarahkan supaya memastikan gangguan berada pada tahap minimal dalam menyediakan perkhidmatan alternatif, kata agensi itu.

Ketua Pengarah TRA Mohamed Al Ghanim berkata: “TRA mendapati BlackBerry nampaknya patuh kepada persekitaran kawal selia yang serupa di negara lain, dan ini menjadikan keengganannya mematuhi peraturan di UAE mengecewakan dan membimbangkan.” – BERNAMA

One thought on “UAE Gantung Perkhidmatan BlackBerry

  • 09/10/2011 at 12:46 am
    Permalink

    no komen..sbb saya xpakai hp ne..

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.