Pembinaan 1,000 Menara Telekomunikasi Baharu Beri Manfaat kepada Usahawan ‘Online’ – Shabery

PETALING JAYA – Fasa kedua program Jalur Lebar Kelajuan Tinggi (HSBB) yang melibatkan pembinaan 1,000 menara telekomunikasi baharu di seluruh negara akan memberi kesan positif kepada usahawan dalam talian, kata Menteri Multimedia dan Komunikasi Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata peningkatan HSBB akan membolehkan golongan usahawan di Malaysia menjual produk dan menjalankan perniagaan tanpa perlu menyewa kedai atau ruang perniagaan.

“Saya percaya masa depan bisnes dalam talian adalah besar sekali. Malah pada masa ini ramai golongan muda menceburi bidang perniagaan dalam talian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pameran fesyen muslimah Bazaar Bayahista 2014 di sebuah pusat beli-belah di sini semalam.

Menteri itu menarik perhatian bahawa produk Malaysia yang pelbagai termasuk fesyen muslimah harus dipasarkan secara meluas, dan ini mampu dibuat melalui perniagaan dalam talian.

Mengenai perkembangan industri penyiaran negara, Ahmad Shabery berkata Radio Televisyen Malaysia (RTM) dijangka memiliki saluran yang menyiarkan berita 100 peratus susulan penghijrahan sistem penyiaran daripada analog ke digital sepenuhnya dalam masa beberapa tahun lagi.

Dalam pada itu, Bazaar Bayahista 2014 selama dua hari sehingga hari ini itu diadakan bertujuan membantu pereka fesyen pakaian muslimah secara dalam talian untuk memasarkan produk masing-masing di samping mewujudkan rangkaian bisnes.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.