Bimbang insiden di Stalingrad berdarah kembali

LONDON: Jawatankuasa Parlimen Britain meluahkan kebimbangan mengenai keselamatan peminat England di Russia pada pusingan akhir Piala Dunia terutama golongan homoseksual dan mereka yang berkulit hitam, Asia dan etnik minoriti (BAME).

Anggaran 10,000 peminat dijangka mengunjungi Russia untuk menonton England yang diundi menentang Belgium, Panama dan Tunisia pada perlawanan kumpulan, dan sudah diberi amaran oleh polis supaya tidak mengibarkan bendera St George kerana ia dianggap berunsur penjajahan.

Peminat diberi amaran supaya berhati-hati di Volgograd, dulu dikenali sebagai Stalingrad, yang menjadi hos pertandingan pembukaan antara England dan Tunisia pada 18 Jun, kerana ia dianggap Russia sebagai simbol Perang Dunia Kedua dan mengandungi banyak kenangan penting.

Peminat Russia dan Inggeris bertempur dengan ganas di Marseille apabila Perancis menjadi hos Kejohanan Eropah pada 2016.

Jawatankuasa Hal Ehwal Luar yang dipengerusikan anggota Konservatif, Tom Tugendhat, tetapi dianggotai semua parti politik, juga menggesa Pejabat Luar dan Komanwel (FCO) untuk memberi jaminan mereka menerima tanggungjawab keselamatan peminat dalam kalangan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

“Ahli Parlimen bimbang mengenai keselamatan peminat bola sepak BAME dan LGBT yang berhadapan risiko tambahan serangan dan penganiayaan di negara yang negaranya tidak bertindak sepenuhnya memerangi homofobia,” menurut kenyataan jawatankuasa itu. AFP/METRO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.