Dua Beradik ‘Setan’ Rogol Adik Kandung

KETUA Polis Daerah Papar, Deputi Superitendan Ladamah Sulaiman. – Foto Malai Rosmah Tuah

PAPAR: Dua lelaki bersaudara ditahan polis kelmarin atas kesalahan sumbang mahram dan merogol adik perempuan kandung sendiri yang berusia 17 tahun.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superitendan Ladamah Sulaiman berkata kedua suspek ditangkap di rumah pada 2.30 petang, berikutan laporan kejadian rogol yang berlaku di kediaman keluarga adik-beradik terbabit di sekitar Papar pada 6 Jun lalu.

“Kejadian itu berlaku pada jam 2 pagi Rabu lepas di kediaman mereka di perumahan sekitar sini dan ketika kejadian itu berlaku, mangsa sedang tidur di ruang tamu.

“Mangsa didatangi oleh kedua-dua suspek yang berusia 26 dan 24 tahun. Salah seorang suspek bertindak menutup mulut mangsa manakala seorang lagi suspek menggunakan gunting untuk menggunting seluar serta seluar dalam mangsa.

“Laporan polis dibuat oleh kakak mangsa kelmarin dan polis terus melakukan tangkapan terhadap kedua-dua suspek serta merampas pelbagai barangan berkaitan kes termasuklah pakaian mangsa serta gunting yang dipakai salah seorang suspek,” katanya.

Ladamah turut berkata polis difahamkan kedua-dua suspek melakukan perbuatan sedemikian terhadap mangsa sejak berumur 12 tahun lagi.

“Pihak polis dimaklumkan kedua-dua suspek berkenaan melakukan perbuatan rogol dan cabul terhadap mangsa sejak berumur 12 tahun lagi namun tiada laporan dibuat sehingga semalam.

“Mengikut maklumat yang diterima oleh polis, sebelum ini mangsa dicabul sebanyak tiga kali dan dirogol dua kali oleh kedua-dua suspek berkenaan.

“Kedua-dua suspek juga dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian itu berlaku.

“Ujian air kencing turut dilakukan terhadap dua suspek berkenaan dan suspek berusia 26 tahun terbabit didapati positif dadah jenis syabu,” katanya dalam sidang media yang diadakan di IPD Papar, di sini, semalam.

Ladamah memberitahu bahawa kedua-dua suspek kini berada dalam tahanan polis.

“Kedua-dua suspek kini berada dalam tahanan polis untuk tindakan susulan dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 30 tahun dan minimum 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

“Mangsa turut memaklumkan pihak polis bahawa sebelum laporan dibuat kakak mangsa, mangsa mengadu kepada ibunya sebelum ini tetapi tidak diendahkan kerana menganggap perbuatan membuat laporan kepada pihak polis adalah perkara mengaibkan,” katanya.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.