“Saya Sedar Dan Insaf…” – Hishammuddin Umum Tak Bertanding

PETALING JAYA: Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein membuat kejutan apabila mengumumkan untuk tidak bertanding sebarang jawatan dalam Umno di peringkat pusat pada pemilihan parti, 30 Jun ini.

Naib presiden Umno yang menjalankan tugas timbalan presiden itu berkata, beliau menyedari keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu memberi isyarat bahawa parti keramat itu perlu melakukan perubahan secara menyeluruh.

“Saya sedar dan insaf dengan keputusan PRU14 yang lalu yang tidak menyebelahi Barisan Nasional. Rakyat telah menyatakan pendirian dan saya menerimanya dengan baik dan terbuka… saya turut mengambil tanggungjawab dan akauntibiliti terhadap kekalahan tersebut.

“Dalam masa kita menerima keputusan PRU14, Umno kini berada dalam peringkat pemilihan parti. Masa yang amat sesuai untuk Umno mengambil kesempatan melakukan perubahan dengan mencorak kepimpinannya.

“Justeru, saya membuat keputusan untuk tidak bertanding bagi apa-apa jawatan di peringkat pusat bagi sesi pemilihan kali ini. Sebaliknya, saya akan bekerja dengan lebih keras untuk membantu membangunkan semula Umno bermula dari Johor,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Hishammuddin berkata, beliau mendapati ramai yang menawarkan diri untuk bertanding demi membawa Umno ke hadapan sambil percaya mereka seharusnya diberikan peluang untuk memimpin.

Menurut Ketua Umno Bahagian Sembrong itu, beliau tetap setia bersama-sama Umno sehingga ke akhir hayat dan akan memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada barisan kepimpinan baharu yang bakal dipilih.

“Perjuangan sekali ini bukan mengenai individu tetapi kekuatan berpasukan. Perjuangan sekali ini bukan mengenai kedudukan tetapi sumbangan.

“Marilah kita ambil isyarat PRU14 ini sebagai semangat dalam membina Umno yang lebih dekat di hati rakyat,” ujar Hishamuddin.-MS.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.