Sultan Selangor Dukacita Raja-Raja Mula Dihina

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, dukacita melihat ada pihak kini secara terbuka menghina dan memperlekehkan Institusi Raja dengan menghasut serta mempengaruhi rakyat untuk membenci Raja-Raja Melayu.

Baginda bertitah, lebih mendukacitakan apabila hasutan itu dilakukan segelintir pihak dalam kalangan masyarakat Melayu sendiri untuk membenci Raja-Raja Melayu.

“Peranan Institusi Raja adalah memelihara dan mempertahankan kedudukan orang Melayu dan agama Islam serta kaum lain di negara ini.

“Penularan budaya ini dalam kalangan pihak tertentu perlu segera dihentikan agar rakyat tidak terus dihasut membenci sehingga mengakibatkan taat setia rakyat kepada Raja-Raja Melayu terhakis.

“Beta menegaskan di sini bahawa Institusi Raja mempunyai peranan dalam sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara ini serta sentiasa mendokong prinsip-prinsip yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Berbuka Puasa bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya serta Perasmian Masjid Al Falah, Jalan Kebun di sini, petang tadi.

Baginda diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Yang turut hadir, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohammed Khusrin Munawi; Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid; Pengarah Jabatan Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim dan Ketua Pegawai Penyelaras Lembaga Zakat Selangor (LZS), Abdul Basith Hamid.

Sultan Sharafuddin Idris Shah juga menitahkan semua umat Islam khususnya di Selangor, mengelakkan perbalahan sesama sendiri yang boleh membawa kepada perpecahan dalam masyarakat dan membawa imej buruk kepada kesucian agama.

“Agama Islam mengutamakan nilai-nilai positif dalam diri seseorang umatnya. Agama Islam juga menyeru umatnya bersikap berbaik sangka, bersatu-padu, bertolak ansur dan sentiasa bersedia untuk memaafkan serta membantu antara satu sama lain,” titah baginda.

Baginda turut meminta seluruh rakyat Selangor agar terus bersatu padu dan mengukuhkan keharmonian tidak mengira pangkat, darjat, usia, bangsa atau agama.

“Beta harap di bulan yang mulia ini, kita menambahkan ibadat dan menumpukan kepada perkara-perkara yang penting untuk kesejahteraan Selangor yang dikasihi. Rakyat juga perlu membantu dan menyumbang untuk kemajuan negeri dan negara.

“Jangan hanya pandai mengkritik, mengecam, mencela dan mencaci terutama di media sosial kerana ia bukan sahaja akan menyakitkan hati orang lain tetapi juga akan memberikan kesan negatif kepada rakyat dan pembangunan negara,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin Idris Shah turut melahirkan kesyukuran kerana dapat merasmikan Masjid Al Falah dan bertemu rakyat jelata pada bulan Ramadan tahun ini.

“Beta bersyukur pada Allah SWT kerana tahun ini Beta diberi kesihatan yang sempurna dan dapat menjalani ibadah puasa.

“Beta gembira kerana dapat bersama rakyat pada majlis ini dan berbuka puasa bersama rakyat dan penyampaian sumbangan Hari Raya kepada fakir miskin dan saudara kita di sembilan daerah di Selangor ini.

“Beta juga dapat merasmikan tujuh buah masjid pada bulan Ramadan ini. Insya Allah, Beta akan jadikan program ini sebagai program tahunan untuk bertemu dengan rakyat di Selangor ini,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin Idris Shah turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Selangor yang beragama Islam dan meminta mereka mengambil kesempatan ini untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan keluarga dan masyarakat.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.