Tipu, tipu, tipu…

Bejing: Pihak berkuasa China mengambil langkah kawalan dan pemeriksaan lebih ketat menjelang peperiksaan kemasukan universiti yang bermula semalam di seluruh China.

Peperiksaan itu, dikenali sebagai gaokao dianggap amat penting dalam kehidupan pelajar kerana bakal menentukan masa depan mereka, mengundang pelbagai kaedah penipuan.

Meskipun hukuman menipu dalam peperiksaan membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, namun ia tidak menghalang ribuan pelajar cuba menipu demi memasuki universiti terkemuka China.

Kaedah penipuan berubah seiring dengan kemajuan teknologi menyebabkan pihak berkuasa perlu lebih kreatif dalam taktik dan teknologi bagi mengelak serta mengesan penipuan.

Menurut South China Morning Post, tahun ini, wilayah pihak berkuasa Inner Mongolia menggunakan sistem pengesan cap jari termoden, mengesan corak cap jari di bawah kulit bagi mengelak pengganti calon menggunakan cap jari palsu untuk menduduki peperiksaan.

China National Radio melaporkan, di wilayah Hubei, polis memeriksa semua rumah di sekitar sekolah, terutama yang disewa jangka pendek bagi mengelak calon menghantar soalan kepada rakan melalui alat perhubungan tanpa wayar dan rakan itu akan menghantar jawapan.

Semua pusat peperiksaan menggunakan pengesan logam bagi mengesan alat elektronik, termasuk telefon, fon telinga tanpa wayar daripada dibawa masuk ke dalam dewan.

Malah, sesetengah pihak berkuasa menggunakan kenderaan dan dron bagi menghalang isyarat perhubungan sekitar pusat peperiksaan.

Penipuan berlaku dalam hampir semua peperiksaan di China dan sejak beberapa tahun lalu, pihak berkuasa China mengesan peralatan penipuan yang inovatif dan kreatif.

Antaranya, cap jari palsu yang paling popular kerana kaedah itu dikesan di lebih 120 universiti pada 2014 apabila pengganti calon, biasanya pelajar universiti yang menerima bayaran lumayan menduduki peperiksaan gaokao bagi pelajar lepas sekolah tinggi.

Sindiket memberi sogokan agar pengganti calon boleh memasuki dewan yang memasang lapisan cap jari calon sebenar pada jari mereka. Walaupun ratusan pelajar terbabit di Henan, Kementerian Pendidikan hanya berjaya mendakwa 21 pelajar bersama 58 guru dan tiga ejen.

Satu lagi kaedah ialah pemadam elektronik mengandungi pemancar yang membantu 27 calon peperiksaan lesen farmasi lulus di wilayah Jiangsu, November lalu.

China Central Television melaporkan, di dalam pemadam getah itu ada pemancar yang membolehkan calon menghantar soalan dan menerima jawapan daripada seseorang di luar pusat peperiksaan.

Seorang pengawas peperiksaan mengesan taktik itu selepas curiga melihat calon wanita kerap merenung pemadamnya.

Fon telinga kecil tanpa wayar kini menjadi alat penipuan paling popular dan saiznya amat kecil, sukar dikesan dengan mata kasar menyebabkan doktor di Wuhan, wilayah Hubei, terpaksa menggunakan mikroskop bagi mengeluarkannya daripada telinga 16 calon ujian bahasa Inggeris.

Fon telinga itu hanya tiga milimeter lebar dan setebal satu milimeter. AGENSI/BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.