‘Nasib baik tiada gangguan mistik’

KUALA LUMPUR: Pelakon, Hannah Delisha, bersyukur apabila tidak berdepan gangguan mistik ketika menjayakan penggambaran filem seram, Langsuir, di Langkawi.

Katanya, walaupun ada kru produksi yang mengalami situasi menaikkan bulu roma, dia yang julung kali berlakon filem terlepas daripada pengalaman sedemikian.

Bakal menemui penonton pada 20 September depan, filem terbitan Guam TeamWork Sdn Bhd dengan kerjasama Nuansa Films itu menggandingkan semula Hannah dengan pasangannya dalam drama Mencintaimu Mr Photographer, Syafiq Kyle.

“Jika diikutkan, selama menjalani penggambaran filem itu, tahun lalu, ada juga kru yang terkena gangguan. Beberapa pelakon pula hampir dirasuk. Saya hanya ternampak kelibat dan terdengar suara. Saya percaya, situasi seperti itu adalah biasa, apatah lagi dalam pembikinan cerita seram.

“Saya juga pernah berdepan pengalaman hampir terpijak ular ketika menjayakan penggambaran di kawasan air yang berbatu. Mujur ia tidak membawa sebarang kemudaratan,” katanya kepada BH Online.

Menurut gadis kacukan berusia 21 tahun itu, pengalaman mengikuti produksi milik ibunya membuat rakaman program bercorak mistik sebelum ini banyak membantu dirinya.

PELAKON dan penyanyi, Hannah Delisha, teruja menunggu tayangan filem sulung lakonannya, Langsuir. – Foto Aizuddin Saad
FILEM Langsuir bakal menemui penonton pada 20 September depan.

“Saya sudah terbiasa meneroka tempat yang jarang dijejaki atau sudah lama ditinggalkan. Saya hanya takutkan perkara berbahaya secara fizikal. Dalam bab dalaman, saya reda,” kata Hannah yang mewarisi bakat seni daripada ibunya, Noor Ashikin Ahmad, iaitu penyanyi era 1980-an.

Julung kali beraksi di layar perak, Hannah mengaku perasaannya bercampur baur antara teruja dan gementar.

“Saya teruja kerana filem pertama lakonan saya begitu mencabar, ditambah dengan faktor cuaca tidak menentu. Lebih-lebih lagi, saya dapat berlakon di bawah pengarah prolifik, abang Osman Ali.

“Dalam filem ini, saya memegang watak hantu langsuir bernama Suri. Dia perlu bercakap menggunakan gaya bahasa baku dan berirama. Ada juga babak memerlukan Suri menyanyi. Jadi, saya membiasakan diri dengan mendengar lagu gamelan dan Jawa.

“Susah sebenarnya mahu mengekalkan momentum watak Suri. Malah, ada ketikanya saya selesa bersendirian di sudut kosong ketika kru menyiapkan kerja mereka,” katanya yang turut diberikan peluang menyanyikan lagu tema filem terbabit berjudul Lara Suri.

HANNAH teruja kerana filem pertama lakonannya begitu mencabar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.