Bapa ‘larang’ Syafiq nikah muda

SYAFIQ pernah meletakkan sasaran tamatkan zaman bujang sebelum usia 28 tahun. – Foto Nurul Syazana Rose Razman

KUALA LUMPUR: Pernah meletakkan sasaran untuk menamatkan zaman bujang sebelum mencecah usia 28 tahun, pelakon popular, Syafiq Kyle bagaimanapun membayangkan, impian itu tidak mungkin menjadi kenyataan.

Syafiq, 26, berkata dia membuat keputusan menangguhkan perancangan itu selepas mendapat nasihat bapanya yang mendirikan rumah tangga pada usia muda.

“Bapa berkahwin pada usia 21 tahun. Dia sering berkongsi cabaran dan dugaan yang dilaluinya untuk menyara keluarga pada usia muda. Dia tidak mahu saya berdepan situasi yang sama.

“Sebelum ini, saya pernah meletakkan sasaran untuk menamatkan zaman solo sebelum usia 28 tahun. Selepas meneliti pelbagai aspek, lebih baik saya memberi fokus kepada kerjaya dan menjaga keluarga terlebih dahulu.

“Biasalah ketika remaja, kita mempunyai sasaran tertentu untuk dicapai, tetapi bukan semua berjalan mengikut perancangan. Banyak faktor lain perlu diambil kira mengikut situasi dan keadaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Syafiq yang meminati sukan bola sepak berkata, dia bersedia memperuntukkan sejumlah wang bagi menaja keperluan kelab, Challo FC.

Pelakon yang popular menerusi drama rantaian, Nur itu berkata, dia nekad menubuhkan kelab itu setahun lalu selepas hasrat menjadi pemain bola profesional tidak kesampaian.

“Saya tidak ralat mengeluarkan wang sendiri bagi menyediakan segala kelengkapan pemain, asalkan usaha itu berhasil. Alhamdulillah, beberapa penaja lain turut berminat menyumbang selepas setahun kelab ini ditubuhkan.

“Setakat ini, kami belum terfikir untuk bertanding di liga utama, namun berbesar hati sekiranya ada pihak yang ingin mengadakan perlawanan persahabatan,” kata Syafiq.

Selain Syafiq, kelab bola sepak itu turut disertai beberapa artis lain sebagai pemain tetap antaranya Aedy Ashraf, Ikmal Amry dan Harris Anuar.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.