Najib Sahkan TPPA Ke Parlimen

PRESIDEN Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono menyambut ketibaan Najib Tun Razak  dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor pada majlis Santapan Malam sempena Sidang  Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2013 di Nusa Dua, Bali,  Indonesia, semalam. Turut hadir isteri Presiden Indonesia itu, Ibu Ani Yudhoyono  (kanan). – BERNAMA

 

NUSA DUA (BALI)  – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan  komitmen kerajaan untuk mendapatkan mandat Parlimen terlebih dahulu sebelum  memuktamadkan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Perdana Menteri juga mengulangi bahawa tiada tekanan untuk Malaysia  menandatangani perjanjian itu pada hujung tahun ini memandangkan terdapat  beberapa perkara yang memerlukan lebih penelitian khususnya yang menyentuh soal  hak-hak kedaulatan negara.

“Proses rundingan adalah satu hal lain. Pada masa sama, kita (Malaysia) sudah  komited untuk membawa TPPA ke Parlimen.

“Kita perlu memahaminya terlebih dahulu. Sesudah itu barulah mudah untuk  kerajaan membuat pertimbangan (sama ada untuk menandatangani perjanjian TPPA  atau sebaliknya),” katanya pada sesi dialog ke-10 bertemakan Melabur Untuk  Ekonomi Berdaya Tahan yang diadakan sempena Sidang Kemuncak Ketua-ketua Pegawai  Eksekutif (CEO) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2013 di sini.

Najib dan Presiden Mexico, Enrique Pena Nieto menjadi ahli panel pada sesi  dialog itu yang dikendalikan oleh Editor Kanan Bloomberg Businessweek, Diane  Brady.

Menjawab soalan Brady berhubung tempoh yang tinggal hanya dua bulan sebelum  akhir tahun untuk 12 negara yang menyertai rundingan TPPA menandatangani  perjanjian itu, kedua-dua pemimpin menegaskan tidak ada had masa yang ditetapkan  untuk memuktamadkannya.

“Apabila melihat lebih mendalam dalam bidang harta intelek, penyelesaian  pertikaian pelaburan negara, pemerolehan kerajaan, perusahaan milik negara, alam  sekitar dan buruh, inilah yang rumitnya. Kerana itu kami meminta supaya diberi  fleksibiliti.

“Kunci utamanya adalah fleksibiliti. Saya bersetuju dengan Presiden Mexico  bahawa tidak patut ada had masa tertentu untuk memuktamadkan perjanjian,” tegas  Najib.

Pena Nieto bagaimanapun berkata, menjadi harapan negara anggota termasuk  Mexico untuk mencapai persetujuan dan kesepakatan dalam perkara-perkara yang  dirundingkan di bawah perjanjian itu.

TPPA menjadi isu yang cukup kontroversi sejak idea pembentukannya yang ketika  itu dikenali sebagai Perjanjian Perkongsian Strategik Ekonomi Trans-Pasifik atau  P4 bermatlamat meliberalisasi ekonomi rantau Asia Pasifik digerakkan oleh  Brunei, Chile, New Zealand dan Singapura pada 2005.

Sejak 2010, rundingan tersebut diperluaskan menjadi perjanjian perdagangan  bebas meliputi beberapa negara lain yang sehingga kini berjumlah 12 anggota.

Negara lain yang turut menyertai rundingan TPPA selain Malaysia dan Mexico  ialah Australia, Kanada, Jepun, Peru, Vietnam dan Amerika Syarikat.

Esok, Najib akan menghadiri mesyuarat TPPA yang diadakan di luar Sidang  Kemuncak APEC 2013 di sini.

Mesyuarat itu akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri New Zealand, John Key. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.