Impian Wany Hasrita genggam trofi Bintang Paling Popular tercapai

PUTRAJAYA: Bintang Paling Popular, Wany Hasrita, 26, tidak menyangka angan-angan zaman sekolah mahu menggenggam trofi tertinggi pada Anugerah Bintang Popular BH Ke-31 (ABPBH 31) menjadi kenyataan malam tadi.

Katanya, impian yang dirasakan hanya di dalam mimpi itu kini menjadi hadiah paling bermakna buat dirinya, apatah lagi ia diraih hanya dalam tempoh tiga tahun bergelar penyanyi.

PENERIMA Anugerah Bintang Paling Popular, Wany Hasrita menerima tepukan daripada rakan artis pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 31 di Pusat Konvesyen Antrabangsa Putrajaya (PICC). – Foto AZIAH AZMEE

“Ketika datang tadi saya hanya ingin berseronok, jumpa kawan-kawan dalam industri hiburan dan meraikan kemeriahan majlis anugerah anjuran BH ini bersama peminat yang menyokong kerjaya saya.

“Memang ketika zaman belajar dulu sebenarnya saya selalu berangan kalau saya diangkat sebagai Bintang Paling Popular, tentu ia sesuatu yang membanggakan. Namun tak sangka angan-angan jadi realiti.

“Sebagai pemerhati industri seni, ABPBH antara majlis anugerah yang saya sentiasa ikuti sekali gus tidak sangka saya akan berdiri di pentas gah itu tadi untuk memberikan ucapan,” katanya selepas diumumkan sebagai Bintang Paling Popular, di sini.

Selain anugerah tertinggi dengan undian sebanyak 2,052,997, pelantun lagu Menahan Rindu itu lebih dulu memenangi kategori Penyanyi Wanita Popular menewaskan Siti Nordiana, Nur Fazura, Stacy dan Ara.

Kemenangan itu melayakkan Wany membawa pulang ganjaran kereta Citroen C4 Picasso berharga RM126,000 berserta trofi.

Katanya lagi, gelaran itu juga sebagai tanggungjawab dan amanah untuk memberikan hasil kerja terbaik, terutama demi peminat.

“Sebelum ini ada yang kata saya tak boleh menyanyi ‘live’, namun saya akan buktikan pemilihan ramai ini sejajar dengan usaha saya kerana kejayaan ini dilalui dengan penuh liku,” ulasnya ringkas.

Menyentuh mengenai penyokong tegarnya, akui Wany, selain ingin mengadakan kenduri doa selamat sebagai tanda kesyukuran, dia turut merancang mengadakan sesi bersama mereka di Zoo Negara mengadakan aktiviti menyeronokkan.

BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.