Tanah terangkat lima meter

TANAH di perkampungan Balaroa terangkat setinggi lebih lima meter, diputar sebelum dihempas semula bersama ribuan rumah dan penghuni di dalamnya.

Pekatan lumpur kemudian memancut keluar dari dalam tanah sebelum kebakaran besar berlaku dan memusnahkan sebahagian kampung yang memiliki 1,747 rumah.

Ratusan penduduk mati sama ada tersepit atau terbakar hidup-hidup dalam tragedi ‘keranda besar’ sejurus gempa bumi berlaku di perkampungan Balaroa, Perumahan Perumnas di sini, ketika gempa bumi 28 September lalu.

Salah seorang penduduk yang terselamat, Jaufan Saib, 45, berkata, kejadian itu menyebabkan kira-kira 700 mangsa terkorban dan beribu lagi masih gagal ditemui sehingga kini akibat tertimbus di dalam runtuhan besaaar-besaran itu.

Menurutnya, gempa bumi berlaku selepas azan Maghrib itu mengakibatkan perkampungan bertanah
rata itu menjadi beralun dan berombak.

“Rumah diangkat dan diterbalikkan begitu saja. Keadaan ibarat di dalam mesin pengisar. Gempa bumi sekuat lebih 7.4 magnitud itu benar-benar menakutkan.

“Mujur kediaman saya terletak di lereng bukit dan hanya mengalami gegaran. Saya sempat berpaut pada tiang rumah sebelum melihat seluruh perkampungan di bawah bukit musnah sepenuhnya,” katanya.

Dia berkata, beberapa jiran yang terselamat bertempiran lari menuju ke rumahnya untuk mencari perlindungan.

“Keadaan menjadi gelap-gelita seketika berikutan bekalan elektrik terputus serta-merta. Namun malam tragedi itu diterangi dengan kebakaran besar di kawasan kampung itu.

“Jeritan dan tangisan mangsa yang terselamat kedengaran di mana-mana namun saya hanya mampu pegun melihat malapetaka ini,” katanya.

Menurutnya, usaha mencari mayat mangsa
di perkampungan itu hanya dimulakan keesokan paginya.

“Sehingga kini sebanyak 700 mayat mangsa sudah ditemui di perkampungan ini. Mayat mangsa dikeluarkan sama ada oleh ahli keluarga yang terselamat atau pasukan penyelamat menggunakan jengkaut.

“Namun masih ramai mangsa yang terbunuh terus tertimbus dan gagal dikeluarkan. Buktinya bau mayat masih kuat dan dapat dihidu di sekitar kawasan sehingga kini,” katanya.

Sementara itu salah seorang lagi penduduk, Alex Budianto, 45, berkata, kejadian gempa itu turut mengakibatkan Masjid Perunas di sini, yang mampu memuatkan sehingga 1,000 jemaah itu bergerak sendiri sejauh lebih 300 meter sebelum roboh.

“Walaupun sudah enam hari tragedi berlalu, masih ada mayat baru ditemui dan dibawa keluar dari runtuhan. Sebanyak 12 mayat mangsa ditemui tadi (semalam) dalam keadaan sudah mereput.

“Saya tidak pasti nasib mayat selebihnya namun saya yakin kubur besar ini akan terus ditangisi waris yang masih gagal menemui baki mayat keluarga masing-masing,” katanya.

Menurutnya, bencana yang berlaku di kampung Balaroa berbeza dengan bencana menimpa kampung Petobo berikutan tanah di kawasan itu diangkat plat tektonik bumi manakala tragedi di kampung Petobo berpunca aliran lumpur yang keluar dari dalam bumi.

HMETRO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.