Pemandu Grab didakwa rogol budak

TEH Kim Huat (tengah) diiringi anggota polis untuk dibawa ke di Mahkamah Sesyen Georgetown, atas pertuduhan merogol gadis bawah umur tiga tahun lalu. – NSTP/Danial Saad

GEORGETOWN: Seorang pemandu Grab mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini terhadap pertuduhan merogol seorang kanak-kanak berusia 11 tahun, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Teh Kim Huat, 49, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Wan Azmah Yaacob.

Teh didakwa merogol kanak-kanak yang kini berusia 14 tahun dan sudah tidak bersekolah di sebuah rumah di Jalan Kedidi, Sungai Ara, Bayan Lepas, dekat sini pada 2015.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga sebat, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Aimy Zainul manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Farah Aimy tidak menawarkan jaminan namun tertuduh merayu supaya dia dibenarkan diikat jamin dengan nilai yang rendah kerana terpaksa menanggung dua anak yang masih kecil.

Wan Azmah kemudian menetapkan 20 Disember ini sebagai sebutan semula kes dan untuk tertuduh melantik peguam.

Tertuduh juga dibenarkan diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.