Rogol anak tiri untuk buang saka

PENIAGA dalam talian berusia 34 tahun (baju kelabu) direman selama seminggu selepas disyaki merogol anak tirinya berusia 16 tahun bagi membuang saka keturunan pada 25 dan 26 Oktober lalu. – NSTP/Dziyaul Afnan Abdul Rahman

KANGAR: Mahu membuang saka menjadi alasan seorang peniaga dalam talian merogol anak tirinya berusia 16 tahun di sebuah kuarters kerajaan di Kuala Perlis, bulan lalu.

Dalam kejadian 25 Oktober lalu, suspek berusia 34 tahun mengajak mangsa keluar ke bank bagi mengeluarkan duit kira-kira jam 1 pagi.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew, berkata ketika berada dalam kereta, suspek mendakwa ada benda halus mengikuti mangsa dan ‘makhluk’ itu hanya boleh dibuang dengan melakukan hubungan seks.

“Mangsa yang mempercayai kata-kata suspek hanya menuruti kata-kata bapa tirinya kerana khuatir saka berkenaan mengganggu dirinya.

“Suspek kemudian bertindak membawa mangsa ke sebuah kuarters kerajaan di Kuala Perlis dan merogolnya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Wari berkata, suspek kemudian sekali lagi merogol anak tirinya di rumah mereka di Taman Suria di sini, pada 26 Oktober lalu, sebelum mangsa membuat laporan polis semalam.

“Suspek kemudian ditahan petang semalam, sebelum direman tujuh hari sehingga 13 November bagi membantu siasatan mulai hari ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 376(B) Kanun Keseksaan kerana sumbang mahram dan polis masih menunggu laporan perubatan mangsa yang dibuat Hospital Tuanku Fauziah (HTF),” katanya.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.