Azmin Diberi Kuasa Lebih Luas Oleh Tun M Bagi Bendung Pengaruh Anwar Dalam PH

PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberi kuasa lebih luas kepada Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali dalam peranannya sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi (MEA).

Ia langkah terbaharu yang boleh mengapi-apikan persaingan dalam parti gabungan Pakatan Harapan (PH) dan membenarkan beliau mengukuhkan kedudukannya berbanding bakal pengganti Dr Mahathir, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sumber membeirtahu The Straits Times bahawa Azmin akan memantau syarikat besar di Malaysia termasuk Petronas, Khazanah dan Perbadanan Nasional Berhad yang secara kolektif bernilai lebih RM1 trilion.

Malah agensi penting yang menjaga kebajikan majoriti masyarakat Melayu-Islam seperti Felda, Tabung Haji dan unit serta jabatan yang membantu usahawan Melayu juga ditempatkan di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA).

Sewaktu pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini, syarikat-syarikat berkenaan diletakkan di bawah Kementerian Kewangan.

“Skopnya lebih luas dan pelan awal untuk meletakkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di bawah MEA juga mungkin dibatalkan.

“Tindakan oleh Dr Mahathir itu, yang menangkis beberapa cabaran terhadap kepimpinannya ketika kali pertama menjadi perdana menteri dari 1981 hingga 2003, dilihat sebagai satu lagi strategi pecah dan perintahnya,” lapor akhbar itu.

Langkah tersebut juga menimbulkan panik di kalangan penyokong Anwar yang bersetuju menggantikan Dr Mahathir dalam tempoh dua tahun lagi, rancangan peralihan kuasa yang dipersetujui Pakatan Harapan.

Azmin dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dikatakan berada dalam kem PKR yang bertentangan dengan Anwar dan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dr Mahathir membentuk kerajaan selepas partinya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menang 13 kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum 9 Mei.

Jumlah itu lebih rendah berbanding 49 kerusi dimenangi PKR. Kedua-dua parti itu sebahagian daripada gabungan pemerintah Pakatan Harapan.

Dalam rundingan awal selepas kemenangan PH pada 9 Mei lalu, tawaran PKR terhadap salah satu portfolio utama – kewangan, dalam negeri, pertahanan atau pendidikan – ditolak.

Namun, Azmin yang sedang meningkat naik dilihat penganalisis sebagai pengganti Dr Mahathir, diberi tanggungjawab untuk menerajui MEA, satu langkah yang akan membendung pengaruh Anwar dalam PH.-MS.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.