Jangan terlalu memuja Dr Mahathir Perdana Menteri

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri tidak seharusnya memiliki kuasa mutlak dalam kerajaan bagi mengelak orang ramai mengagungkan jawatan terbabit, sekali gus mendorong kepada amalan tidak baik dan salah guna kuasa.

Pensyarah Undang-Undang Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Azmi Sharom, mendakwa sikap sesetengah masyarakat yang terlampau mengagungkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, dilihat semakin membimbangkan.

“Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), orang ramai seperti memuja Perdana Menteri, ibarat beliau seperti tuhan yang tidak melakukan sebarang kesalahan.

“Perdana Menteri bukan sesuatu yang unik. Beliau sebenarnya adalah Ahli Parlimen. Beliau (Perdana Menteri) tidak mendapat jawatan itu berasingan tetapi daripada Parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Forum Awam Mengenai Kepentingan Pembangkang Yang Kuat Demi Mengukuhkan Demokrasi di Wisma Badan Peguam Malaysia di sini, hari ini.

Selain Azmi, ahli panel lain ialah Presiden Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Tunku Zain Al’ Abidin Tuanku Muhriz dan Timbalan Ketua Pemuda Gerakan, Andy Yong Kim Seng.

Azmi berkata, amat penting supaya kerajaan memiliki Perdana Menteri yang sama taraf dengan Ahli Parlimen lain dan bukan sebagai dewa yang tinggal di pergunungan, hanya tahu memberi arahan.

Sementara itu, Tunku Zain Al’ Abidin memberi amaran penyertaan lebih ramai aktivis masyarakat ke dalam kerajaan hanya akan menyebabkan proses semak dan imbang sukar dilaksanakan.

“Ramai individu daripada masyarakat sivil mahu menyertai kerajaaan baharu Pakatan Harapan (PH). IDEAS, Bersih 2.0 kehilangan pemimpin dan aktivis mereka kepada kerajaan yang dibentuk selepas PRU-14.

“Ini sangat bahaya dan jika ia dibiarkan berterusan, kita akan kehilangan elemen berharga dalam menjamin semak dan imbang dalam kerajaan serta masyarakat,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.