Lapor 0ddity Central, lorong khas berkenaan bercat merah, hijau dan biru serta gambar telefon pintar berukuran 80 sentimeter lebar dan 100 meter panjang terletak di Jalan Yanta.

Media China melaporkan, sebuah pusat beli-belah meminta pihak berkuasa menyediakan laluan tersebut di hadapannya untuk kegunaan selama sebulan bagi tujuan pemasaran.

Bagaimanapun lorong pejalan kaki khas itu ternyata menjadi langkah menjaga keselamatan hantu telefon pintar daripada dilanggar kereta.

Ini kerana, kereta sering masuk ke kaki lima di depan pusat beli-belah itu dan kadangkala nyaris terlanggar pejalan kaki yang terlalu asyik merenung skrin telefon pintar.

Reaksi netizen di media sosial China bercampur-campur dengan sesetengah netizen memuji idea itu sebagai cara bijak menjaga keselamatan hantu telefon pintar manakala beberapa netizen lain membandingkan penagih telefon pintar dengan penghisap candu semasa Dinasti Qing.

“Setiap individu yang berjalan di sepanjang lorong ini fikir mereka selamat; di tepi jalan ada banyak kereta dan kadangkala terpaksa mengelak daripada terlanggar kamu,” kata seorang netizen.

“Orang muda hari ini menjalani kehidupan serba pantas dan mereka sentiasa menatap skrin telefon. Ini menyebabkan kita tidak dapat berfikir kerana kita sentiasa menatap skrin telefon. Lorong khas berkenaan merupakan satu bentuk perlindungan,” komen seorang lagi netizen.- UTUSAN ONLINE