Maksud Nasihat Mengikut Perlembagaan Persekutuan

‘NASIHAT’ di bawah Perlembagaan secara umum merujuk kepada Perkara 40 yang menetapkan bahawa Yang di-Pertuan Agong memerintah menurut nasihat melainkan dalam perkara terletak pada budi bicara baginda.

Peruntukan itu berbunyi: “Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini ataupun undang-undang Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali seperti diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini; tetapi Yang di-Pertuan Agong berhak atas permintaannya, untuk mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri”. Perkara 40(1A) Perlembagaan Persekutuan pula mensyaratkan Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.

Sebelum membahaskan maksud ‘nasihat’ dalam Perkara 40 di atas, perlu ditegaskan bahawa Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa Perlembagaan Persekutuan ialah undang-undang tertinggi negara. Justeru, sebarang undang-undang, dasar, keputusan, nasihat atau pelaksanaan yang dibuat tidak boleh bercanggah dengan peruntukanPerlembagaan. Sekiranya ada, ia terbatal setakat percanggahan itu.

  • Sumpah Seri Paduka

Perlembagaan Persekutuan mensyaratkan Yang di-Pertuan Agong untuk bersumpah seperti Jadual Keempat bahawa baginda;

1. Taat setia pada menjalankan pemerintahan menurut Perlembagaan.

2. Ikrar untuk memelihara pada bsetiap masa agama Islam.

3. Berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam negeri.

Bahkan, setiap ahli Jemaah Menteri, Ahli Majlis Parlimen, hakim mahkamah, ahli suruhanjaya di bawah undang-undang Persekutuan, wajib mengikrarkan sumpah jawatan sebelum melaksanakan fungsi masing-masing. Sumpah itu seperti dalam Jadual Keenam mempunyai lafaz “bahawa saya akan menumpahkan taat setia yang sebenar kepada Malaysia dan akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaannya”.

Sumpah itu bermaksud setiap daripada mereka hendaklah menjunjung prinsip kedaulatan dan Perlembagaan dengan taat setia. Berdasarkan kedudukan di atas, maka nasihat di bawah Perkara 40 di atas adalah tidak mutlak.Setiap nasihat itu hendaklah diperhalusi dari sudut inti pati, tujuan dan implikasi. Sifat tidak mutlak itu selaras dengan ketinggian Perlembagaan Persekutuan seperti dijelaskan Perkara 4(1).

Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa kuasa eksekutif Persekutuan terletak pada Yang di-Pertuan Agong, tertakluk pada undang-undang. Jemaah Menteri dan pihak yang diberi kuasa di bawah Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan ialah pelaksana fungsi kuasa eksekutif Yang di-Pertuan Agong.

Tidak salah untuk merumuskan bahawa Perkara 40 di atas ialah manifestasi kepada Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan. Atas prinsip itu, Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak di atas nasihat sekiranya fungsi kuasa eksekutif itu sudah diwakilkan menurut undang-undang.

  • Prinsip nasihat

Raja bertindak atas nasihat satu daripada prinsip dalam Raja Berperlembagaan. Raja Berperlembagaan itu menuntut bukan sahaja Raja perlumemerintah berdasarkan undang-undang, bahkan hal yang sama ke atas setiap pelaksana fungsi kuasa eksekutif Persekutuan. Justeru, mereka terikat dengan prinsip kedaulatan yang dijunjung oleh Yang di-Pertuan Agong.

Lantaran, sebelum suatu nasihat dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, menjadi tanggungjawab kepada penasihat di bawah Perlembagaan untuk memastikan nasihatnya itu mematuhi peruntukan undang-undang.Ringkasnya, nasihat di bawah Perkara 40 dan 40(1A) juga tertakluk pada prinsip tadbir urus baik dan menjunjung kedaulatan undang-undang. Kedaulatan undang-undang itu bermaksud suatu nasihat itu hendaklah dalam kerangka kedaulatan seperti termaktub dalam Perkara 181(1) dan prinsip Perlembagaan Persekutuan.

Sumpah Yang di-Pertuan Agong yang dimulai dengan “wallahi,wabillahi, watallahi” berserta lafaznya ialah manifestasi kepada kedaulatan negara yang berkonsepkan Raja-Raja Melayu sebagai pemegang amanah bersumberkan ajaran Islam, yang perlu dilaksanakan menurut peruntukan Perlembagaan. Sekiranya nasihat itu mematuhi syarat di atas berserta peruntukan berkaitan dengannya, itulah kedaulatan undang-undang.

Tanggungjawab untuk memastikannasihat yang betul terletak pada mereka yang dikehendaki oleh undang-undang menasihati Yang di-Pertuan Agong atas suatu perkara tertentu.

  • Kuasa tersimpan

Satu perkara yang sering dilontarkan ialah apabila berlaku keadaan Yang di-Pertuan Agong tidak bersetuju dengan nasihat Perdana Menteri dalam perkara yang bukan dalam budi bicara baginda. Sekiranya keadaan itu berlaku, sebaik-baiknya Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri diberi ruang seluas-luasnya untuk melanjutkan rundingan.

Secara prinsipnya, Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak menurut nasihat Perdana Menteri sekiranya undang-undang memperuntukkan sedemikian. Sebaliknya, Yang di-Pertuan Agong boleh meminta Perdana Menteri untuk menimbangkan semula suatu nasihat sekiranya pada timbangan baginda nasihat itu tidak menepati atau bercanggah dengan mana-mana peruntukan undang-undang. Perlembagaan membenarkan Yang di-Pertuan Agong untuk merundingi Majlis Raja-Raja di bawah butiran 6 Jadual Kelima atau merujuk kepada Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan untuk mendapatkan pandangan.

Prinsip itu ialah prerogatif Yang di-Pertuan Agong yang dijamin oleh Perkara 181(1) dan Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan. Ia dinamakan kuasa tersimpan. Dalam menguruskan perbezaan pandangan di antara Yang di-Pertuan Agong dengan Perdana Menteri, satu perkara perlu dihormati ialah Perdana Menteri dipilih oleh Yang di-Pertuan Agong untuk memimpin kerajaan baginda. Setiap pandangan Yang di-Pertuan

Agong perlu dihormati dengan saksama dan wajar diberi pertimbangan oleh Perdana Menteri kerana akhirnya Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak atasnasihat Perdana Menteri. Hubungan di antara Yang di-Pertuan Agong sebagai pemegang kuasa eksekutif Persekutuan dengan pelaksana fungsi kuasa eksekutif baginda pastinya menuntut kerjasama yang erat kerana kedua-duanya diamanahkan untuk menjunjung kedaulatan undang-undang, seperti terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam apa juga keadaan, kedaulatan undang-undang itu perlu ditegakkan. Justeru, menjadi prinsip undang-undang bahawa setiap nasihat hendaklah sentiasa mematuhi dan menjunjung keluhuran Perlembagaan dan undang-undang negara.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.